Sultan Ibrahim nampak garang, tetapi hati mulia - Sugumaran

Sultan Ibrahim nampak garang, tetapi hati mulia – Sugumaran

R. SUGUMARAN (kiri) sentiasa berada di samping Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sejak bertugas dengan baginda pada tahun 2003.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Tuanku Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) nampak sahaja seorang yang garang dan serius, tetapi hatinya mulia dan prihatin terhadap rakyatnya.”

Demikian luah Pegawai Peribadi kepada Sultan Johor, Datuk R. Sugumaran.

Sugumaran yang merupakan aide de camp (ADC) Sultan Johor sejak 2003 melihat sendiri keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata menerusi pelbagai program, khususnya Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diadakan saban tahun.

Katanya, menerusi penganjuran KMJ, segala jentera kerajaan negeri digerakkan untuk melakukan persiapan siri jelajah baginda ke seluruh daerah di negeri ini bagi menyantuni rakyat serta membantu keluarga miskin dan daif di setiap daerah.

R. Sugumaran

“Tuanku merupakan seorang yang amat prihatin dan cepat tersentuh melihat keadaan rakyat yang dalam kesusahan. Apabila melihat orang yang miskin, daif, cacat dan sebagainya, Tuanku akan bercakap kepada saya: “Kesian mereka Sugu, kita akan bagi bantuan kepada mereka.

“Jika konvoi Tuanku melewati tempat menunggu teksi dan kelihatan ramai pemandu ‘berkampung’ menunggu pelanggan, baginda akan menitahkan kepada saya untuk memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang kais pagi makan pagi ini.

“Begitu juga apabila Tuanku singgah minum dan sarapan di kedai, baginda akan belanja semua pelanggan di kedai itu bahkan memberi ‘bonus’ berlipat ganda kepada pengusaha kedai makan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, kata Sugumaran, rakyat Malaysia perlu berasa bertuah mempunyai raja yang berjiwa rakyat dan mahu memberikan yang terbaik untuk rakyatnya apabila Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, bermula hari ini.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga adalah individu yang menitikberatkan kesempurnaan dalam semua perkara, sama ada dalam urus tadbir sebuah kerajaan sehingga isu rakyat marhaen seperti jalan berlubang yang amat bertepatan dengan motto baginda, ‘Kepentingan awam mesti melebihi kepentingan peribadi’.

“Secara peribadinya, sebagai individu yang sentiasa berdamping dengan Tuanku sejak 23 tahun lalu, saya teruja melihat Tuanku bergelar Yang di-Pertuan Agong. Sebagaimana mentadbir Johor secara adil dan saksama, Tuanku pasti akan menjalankan tugas dengan amat baik dan prihatin terhadap rakyat jelata di seluruh negara.

“Tuanku juga sedia maklum, harapan rakyat amat tinggi dan ini adalah satu tugas yang amat berat, namun saya percaya dan yakin Tuanku akan menjadi raja yang akan disanjung dan diingati, meninggalkan legasi sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat. Tuanku akan menjadi pemerhati kepada kerajaan yang memerintah hari ini supaya sentiasa mendukung misi meningkatkan taraf hidup rakyat, meningkatkan ekonomi negara selain memastikan keamanan negara yang berbilang kaum ini,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Sugumaran turut berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila menaiki kereta mewah Bentley yang dipandu sendiri oleh Tuanku dari Johor ke Shah Alam, Selangor untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Selangor pada 2003.

“Tuanku juga suka selaman skuba dan sebagai ADC, saya juga kena belajar aktiviti menyelam ini dan sama-sama terjun ke dasar laut. Lokasi yang menjadi pilihan Tuanku adalah di Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Rawa di Mersing,” katanya.

—–

Biodata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

– Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

– Mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

– Melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975.

– Mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

– Menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai Komander Platun sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat serta menjalani latihan ‘airborne’ dan ‘ranger’ untuk pegawai infantri.

– Meneruskan latihan ketenteraan sebagai ‘American Special Forces’ dan ‘Pathfinder’ dan telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam untuk ditauliahkan sayap serta diiktiraf sebagai seorang komando.

Lebih membanggakan turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

– Melakukan beberapa terjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

– Menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail.

– Menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak sekali gus melengkapkan sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

– Meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dan melengkapkan dua kursus, iaitu ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Law of the Seas’.

– Pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

– Dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

– Mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri.

– Dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989 semasa Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

– Dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 susulan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN