PENAMPANG: Keadaan laluan tanah merah ke Kampung Buayan yang masih belum dinaik taraf sehingga kini menyukarkan penduduk berulang alik ke hospital bagi mendapatkan peralatan dan bekalan perubatan.
Biarpun kampung itu berada dalam senarai perkhidmatan flying doctor namun, bagi keadaan tertentu, penduduk masih perlu keluar bagi mendapatkan bekalan ubat-ubatan mahupun oksigen bagi yang menghidap penyakit asma.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Buayan, Kilus Santadau berkata, ibunya menghidap penyakit asma maka, dia perlu berulang alik ke hospital setiap minggu bagi mendapatkan bekalan oksigen untuk ibunya.
“Saya perlu ke hospital setiap dua kali seminggu bagi mengambil bekalan oksigen untuk ibu. Maka, setiap kali keluar, perbelanjaan untuk minyak kereta sahaja antara RM200 hingga RM400.
“Itu belum ambil kira kos penyelenggaraan. Jika kerap berulang alik, memang perlu selenggara kereta bagi mengelak kerosakan di tengah jalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Buayan, Mositol Sondigon berkata, keadaan jalan ke kampung itu sudah ada penambahbaikan sedikit berbanding dahulu.
Sebelum ini, kampung tersebut langsung tidak boleh diaskes oleh sebarang jenis kenderaan. Tapi, sekarang kenderaan pacuan empat roda sudah boleh masuk sehingga ke kampung dengan mengambil masa dua jam perjalanan.
Menurut Mositol, masalah jalan ke kampung itu sudah banyak kali dibangkitkan malah, setiap kali pilihan raya, ramai yang menabur janji untuk menaik taraf keadaan jalan di situ. Namun, selepas pilihan raya selesai, tiada yang muncul dan tunaikan janji mereka.
Beliau berkata, kos sewa kenderaan untuk perjalanan pergi dan balik dari Kampung Buayan ke Pekan Donggongon boleh mencecah RM400 hingga RM600. Kadar sewa yang tinggi itu membebankan kira-kira 1,000 penduduk tiga buah kampung di situ.
Katanya, kebanyakan penduduk tiga buah kampung termasuk kampungnya, Kampung Tempiyasa dan Kampung Tiku terdiri daripada petani kecil-kecilan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Jadi, kos sewa kenderaan dan kadar tambang yang mahal menjadi beban kepada mereka. Itu sebabnya ada penduduk yang memilih untuk berjalan kaki meredah laluan tanah merah selama lapan jam.
“Bagi penduduk yang mampu, mereka akan menaiki kenderaan yang mengenakan bayaran tambang sebanyak RM70 untuk pergi dan balik. Tapi, jika ada urusan penting dan perlu menyewa sebuah kenderaan, mereka perlu membayar RM400 hingga RM600,” katanya. –UTUSAN










