Suami lumpuh, tiga beranak hilang punca pendapatan

Suami lumpuh, tiga beranak hilang punca pendapatan

NORASHIKIN Md. Said menemani Mat Sani Embong yang terlantar akibat lumpuh di rumah mereka di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tiga beranak di Kampung Payang Kayu dekat sini terpaksa bergantung kepada wang bantuan dan sumbangan orang ramai setelah ketua keluarga lumpuh sejak September tahun lalu.

Norashikin Md. Said, 43, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah selepas suaminya, Mat Sani Embong,40, terjatuh dari pokok duku yang dipanjat setinggi kira-kira dua meter.

Menurutnya, akibat kejadian itu, suaminya disahkan lumpuh setelah mengalami masalah saraf tulang leher dan tunjang serta menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama 45 hari.

“Sebelum ini, suami melakukan kerja-kerja kampung namun kini hanya mampu terlantar atas katil dan tidak berkeupayaan lagi untuk bekerja. Kami kehilangan pendapatan.

“Buat masa ini, kami hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan dan sumbangan adik-beradik serta orang ramai untuk belanja harian, begitu juga dengan persekolahan anak.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh ladang namun ambil keputusan berhenti kira-kira setahun lepas untuk uruskan persekolahan hantar dan ambil anak tunggal kami, Puteri Nor Ellysha Balqis, 13,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Payang Kayu, dekat sini, semalam.

Tambah Norashikin, dia tidak dapat bekerja semula kerana perlu beri perhatian sepanjang masa menjaga suaminya yang perlu dipakaikan lampin pakai buang.

Katanya lagi, suaminya tidak bersedia untuk dibedah kerana berkemungkinan ada risiko lain yang perlu ditanggung selepas pembedahan selain tiada jaminan untuk pulih sepenuhnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin bantu ringankan beban keluarga ini boleh salurkannya ke akaun Norashikin (1111441000107617 – BSN) atau hubungi talian 019-5206184. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN