Hukuman lebih berat

Hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk

AEDY Fadly Ramli ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Setia JPJ Bulan Mac 2026 di Putrajaya, semalam-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia me­lakukan pindaan sekali lagi terhadap Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk.

Pindaan itu jelas membukti­kan komitmen kerajaan bagi mem­bendung jenayah peman­duan di bawah pengaruh alkohol dan dadah tanpa sebarang kompromi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hukuman lebih keras, berat dan setimpal perlu dikenakan terhadap pesalah yang melakukan jenayah terbabit terutama membabitkan kemalangan maut.

Katanya, hukuman sedia ada iaitu di bawah Seksyen 44 dan Seksyen 45 akta berkenaan dilihat masih belum cukup untuk memberikan pengajaran kepa­da pesalah walaupun telah dipinda dan diperketatkan sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, semakan serta penelitian lanjut terhadap Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987 telah dimulakan melalui bahagian undang-undang jabatan itu.

“JPJ telah memulakan semakan semula ke atas Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987 selaras dengan arahan Kementerian Pengangkutan serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah terlibat.

“Kami akan teliti dan kaji terlebih dahulu bersama pasukan perundangan JPJ sebelum dibawa kepada menteri dan jemaah menteri untuk pertimbangan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Bulan Mac 2026 di sini semalam.

Aedy Fadly berkata, pindaan terhadap Seksyen 44 dan 45 telah dibuat pada tahun 2021 dan 2022 namun masih belum cukup untuk memberi pengajaran kepada pesalah.

Sehubungan itu, diharapkan tindakan terbaharu ini dapat memberi kesedaran serta mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku di negara ini.

“Menteri Pengangkutan telah mengarahkan JPJ untuk meneliti semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah APJ.

“Ini untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada pesalah yang melibatkan pemandu mabuk ataupun dadah,” katanya lagi.

Menurut Seksyen 44 APJ 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun.

Individu terbabit juga boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga berpandangan hukuman sedia ada di bawah undang-undang berkaitan didapati masih belum mencukupi dan tidak setimpal dengan kesan tragedi yang berlaku terutama apabila melibatkan kehilangan nyawa.

Oleh itu katanya, peruntukan hukuman dikenakan ke atas pemandu mabuk khususnya yang mengakibatkan kemalangan maut perlu ditingkatkan bagi membangkitkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.

“Hukuman berat penting untuk menimbulkan rasa gerun dalam kalangan rakyat, supaya mereka tidak memandang ringan kesalahan hanya kerana boleh membayar denda,” katanya pada sidang akhbar program Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026 di ibu negara semalam.

Menurut Azalina lagi, kemente­riannya juga bersedia mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, sebelum cadangan pindaan dibawa ke Parlimen.

Beliau menegaskan, reformasi undang-undang perlu memastikan hukuman yang dikenakan adalah lebih berat, jelas dan tidak memberi ruang kepada persepsi bahawa kesalahan tersebut boleh diselesaikan dengan wang semata-mata.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan dilaporkan sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan komited memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan bagi memastikan kese­lamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Langkah itu susulan kes tragis melibatkan penunggang motosikal, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas di­langgar pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor pada 29 Mac lalu.

Pada 1 April lalu, pemandu kereta berkenaan R. Saktygaanapathy, 28, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN