Suami bersyukur nasib anak-anak terbela selepas kematian isteri

Suami bersyukur nasib anak-anak terbela selepas kematian isteri

SAMSUL Kamal Mansor menerima sumbangan daripada Perkeso yang diserahkan oleh V. Mohanadas (tiga dari kiri) dekat Gerik, Perak semalam. – UTUSAN/ FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang suami bersyu­kur apabila dirinya bersama anak-anak menerima pembaya­ran faedah bulanan daripada Per­tubuhan Keselamatan Sosial (Per­keso) ekoran kematian iste­ri­nya yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 5 Januari lalu.

Samsul Kamal Mansor, 51, akan menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) bulanan sebanyak RM1,395 bagi menanggung empat anaknya yang berusia tujuh hingga 21 tahun.

Beliau menerima faedah bulanan itu apabila arwah isterinya, Sofiahani Mohd. Sani yang berniaga di Pengkalan Hulu, merupakan pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak 23 Ogos tahun lalu.

“Saya berterima kasih atas pemberian ini. Duit ini adalah untuk menanggung anak-anak yang masih bersekolah dan belajar,” katanya sewaktu diziarahi oleh Pengarah Perkeso Perak, V. Mohanadas dekat sini semalam.

Sofiahani, 44, bersama anak ketiga keluarga tersebut, Akmal Danial Samsul Kamal, 16, mening­gal dunia setelah cedera parah akibat motor yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan semasa perjalanan ke tempat wanita itu berniaga.

Mohanadas berkata, ibu kepada lima orang anak itu merupakan Orang Bekerja Sendiri (OBS) menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), sekali gus melayakkan warisnya menerima manfaat daripada hasil caruman Perkeso.

Katanya, berdasarkan rekod caruman Sofiahani, waris keluar­ga menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 secara sekali bayar dan FOT bulanan sebanyak RM1,395.

“Bagi FOT, suami dan empat anaknya dalam lingkungan umur tujuh hingga 21 tahun layak menerima faedah ini sepanjang hayat atau sehingga empat anaknya berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyam­bung pengajian ke peringkat ijazah pertama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN