PETALING JAYA: Keterangan 18 individu telah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penukaran plot tanah milik kerajaan kepada hak milik persendirian selepas dua pengurusan tertinggi di syarikat peranginan terkemuka direman kelmarin.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, mereka dipanggil SPRM terdiri daripada kakitangan tiga agensi kerajaan.
Kata sumber itu, keterangan itu diambil bagi melihat sekiranya terdapat elemen rasuah dalam mana-mana transaksi bagi proses penukaran hak milik tanah itu.
“SPRM juga sedang mengesan jumlah bayaran rasuah yang dibayar kepada mana-mana individu,” katanya di sini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM telah menahan reman dua individu yang memegang jawatan tertinggi di syarikat peranginan terkemuka selama empat hari membantu siasatan pindaan hak milik tanah itu.
Lapor Utusan Malaysia, pembinaan jalan dilakukan di atas tanah rizab milik kerajaan itu sudah ditukar hak milik kepada sebuah syarikat yang mengoperasikan sebuah pusat peranginan terkemuka.
Proses pertukaran hak milik itu dipercayai dilakukan secara tergesa-gesa selain terdapat bayaran tertentu dibuat oleh syarikat berkenaan kepada agensi kerajaan terlibat.
Tanah tersebut diberikan kepada syarikat itu dengan status pembangunan sedangkan tanah rizab tersebut sepatutnya untuk binaan jalan sebagai laluan utama ke pusat peranginan terbabit.
Siasatan dilakukan SPRM di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Baru-baru ini, tular gambar pemasangan struktur di jalan berkenaan menuju ke sebuah pusat peranginan terkemuka sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.
Namun, agensi kerajaan terlibat menegaskan projek pembinaan plaza tol di lokasi itu tidak mempunyai kaitan dengannya.
Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, ia bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan Persekutuan sebaliknya, jalan persendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana lebuh raya bertol di sekitar kawasan itu. – UTUSAN










