BANGI: Masalah kebanjiran sampah plastik di negara ini bakal dapat diatasi menerusi kerjasama dua pihak bagi mengubah sisa tersebut menjadi bahan bakar bernilai tinggi.
Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Agensi Nuklear Malaysia dengan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES) bagi pembuktian konsep teknologi plastik-ke-bahan api yang julung kali dilaksanakan di Malaysia secara inovatif.
“Kami sasar guna sinaran yang bukan sahaja murah malahan sisa boleh pula diubah jadi bahan baharu,” kata Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan.
Terdahulu, beliau hadir memeterai MoU berkenaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. yang juga Pengarah AFES, Datuk Mohd. Zain Hassan di sini hari ini.
Dua tahun lalu, Malaysia gempar apabila disenaraikan saintis Belanda, Lourens Meijer sebagai negara ketiga terbesar pengeluar sisa plastik di dunia selepas Filipina dan India.
Kajian selari dapatan Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang mendakwa lebih 1.1 juta tan sampah tersebut dibuang secara per kapita setiap tahun.
Pihak kerajaan walau bagaimanapun sudah bertindak mewartakan Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 sebagai langkah pemuliharaan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, teknologi pengurusan sisa tersebut membolehkan plastik ditukar untuk bernilai komersial termasuk dijadikan diesel bergred tinggi seperti Euro 5.
“Pada masa sama, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara dua pihak ini bakal melonjak Indeks Inovasi Global (GII) negara kita diyakini pelabur asing,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Zain berkata, sudah tiba masa pihaknya beralih kepada teknologi baharu yang lebih lestari kepada alam sekitar dalam pengurusan pelupusan sisa pepejal dan bersifat sifar pelepasan karbon. – UTUSAN