Selesaikan isu padi ikut lokaliti

Selesaikan isu padi ikut lokaliti

Perubahan iklim dunia turut mempengaruhi pengeluaran beras negara.– UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah padi harus diselesaikan secara berfokus mengikut lokaliti bagi mendapatkan kesan yang signifikan sekali gus dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Bidang Pertanian Padi, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noraziyah Abd. Aziz Shamsudin berkata, punca utama kemerosotan pengeluaran beras negara sebahagian besarnya berpunca daripada perubahan iklim cuaca dunia.

Menurutnya, masalah tersebut bukan saja memberi kesan terhadap industri beras di Malaysia bahkan turut menjejaskan pengeluaran beras negara pengeksport utama makan ruji tersebut seperti Thailand, India dan Vietnam.

“Justeru, isu berkaitan padi perlu ditangani dan diselesaikan mengikut lokaliti sebagai contoh memperbanyakkan lagi varieti benih padi yang mampu bertahan dengan isu-isu dihadapi sesuatu kawasan kerana tidak semua tempat menghadapi masalah sama.

“Tetapi malangnya di negara kita, hanya satu varieti padi dikeluarkan untuk keseluruhan bendang setiap tahun, sedangkan terdapat pelbagai masalah berbeza dihadapi pesawah mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau mengulas langkah itu yang merupakan antara 12 inisiatif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Gelombang Padi bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada serta hala tuju baharu industri padi dan beras negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, antara inisiatif dalam Gelombang Padi adalah memperkenalkan Dasar Baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memperkasa pembekalan input pertanian dan memperkukuh pengurusan air ke kawasan tanaman padi.

Beliau berkata, dengan memperbanyakkan varieti padi ia akan membuka peluang kepada pesawah memilih jenis padi yang sesuai dengan keadaan tanah dan musim di kawasan masing-masing.

“Perlu diingat bahawa masalah dihadapi pesawah di kaki bukit dengan di kawasan berhampiran laut berbeza, begitu juga dengan tanah yang kerap mengalami banjir juga tidak sama,” katanya.

Sementara itu, Noraziyah berkata, kerajaan harus memberi penekanan untuk memantapkan pengeluaran hasil beras di kawasan luar jelapang.

Menurutnya, walaupun kawasan luar jelapang hanya mewakili sekitar 40 peratus bendang di seluruh negara tetapi ia memiliki kawasan pengairan yang bagus berbanding di jelapang.

“Jika purata hasil di kawasan luar jelapang dipertingkatkan, ia mampu menyumbang kepada peningkatan SSL negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN