Selangor sasar pelaburan dalam negeri RM50 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

Selangor sasar pelaburan dalam negeri RM50 bilion tahun ini

Pelaburan Selangor
AMIRUDIN Shari bersalam dengan penjawat awam negeri yang menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Menteri Besar Selangor dekat Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor menyasarkan nilai pelaburan langsung asing dan dalam negeri itu pada tahun ini berjumlah RM50 bilion selepas menilai prestasi ekonomi negara yang disifatkan semakin baik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau optimis untuk mendapat jumlah tersebut berdasarkan perkembangan ekonomi negara berbanding tahun lalu sebanyak RM45 bilion.

“Kita meletakkan nilai pelaburan yang agak tinggi sedikit, iaitu mencecah RM50 bilion, yang mana pada tahun lalu kita peroleh nilai pelaburan berjumlah RM45 bilion,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau menambah, sekiranya jumlah RM50 bilion dapat dicapai, Selangor dapat menambah sumbangan Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) negara sehingga 26 peratus pada tahun ini.

“Jika kita dapat meningkatkan minimum 0.4 peratus hingga 0.5 peratus daripada apa yang kita sumbangkan ketika ini, maknanya KDNK yang  Selangor sumbangkan 25 peratus sebelum ini, boleh capai sehingga 26 peratus.

“Tetapi, saya hendak lihat dahulu (angka rasmi) tahun 2023 kerana data berkaitan prestasi ekonomi dan pelaburan negeri (tahun lepas) belum lagi dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” jelasnya.

Selangor pada tahun 2022 menyumbangkan sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia, iaitu kenaikan sebanyak 0.7 peratus pada tahun 2021.

Dalam isu berbeza, Amirudin meminta semua penjawat awam di bawah kerajaan negeri dapat melaksanakan semua program yang telah dirancang dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1).

Menurutnya, hal ini penting bagi memastikan semua rakyat negeri itu merasai manfaat yang telah dirancang kerajaan ini dalam pelan pembangunan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN