PETALING JAYA: Ahli Senario, Azlee Jaafar, 54, tidak menyangka perjumpaan semula kumpulan Senario untuk sebuah program di Johor menjadi detik terakhir pertemuannya dengan salah seorang anggota kumpulan itu, Hamdan Ramli.
Jelas Azlee, semasa sesi latihan, Hamdan kelihatan sangat gembira, bersembang, saling bergurau senda semasa bertemu dengan kesemua ahli Senario bagi meraikan 27 tahun penubuhan kumpulan itu.
“Percaturan Allah sangat indah. Kami ahli Senario jarang ada persembahan bersama. Allah takdirkan kami berkumpul untuk persembahan Senario Union di Johor dan juga menjadi saat terakhir Hamdan bersama kami.
“Saya masih ingat betapa gembiranya dia bertemu kami beramai-ramai, gelak-ketawa sambil makan macam tiada sakit apa-apa sebelum pada waktu isterinya beritahu kesihatan Hamdan tidak berapa baik.
“Sekali lagi, takdir Allah maha hebat apabila arwah juga pergi di hari Jumaat yang sangat mulia,” jelas Azlee ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengenang 27 tahun usia persahabatan mereka, Azlee berkata, terlalu banyak memori antara dirinya dan arwah yang disifatkan seorang yang sangat tenang, selain tidak suka menyakiti hati sesiapa.
“Saya sudah puas menangis. Hamdan dan saya sudah 27 tahun bersahabat, banyak yang kami lalui. Dia ahli asal kumpulan Senario membuatkan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Saya panggil dia Duku, dia pula panggil saya Along.
Sebagai penghormatan terakhir, Azlee dan rakan-rakan mengurus serta menaja semua keperluan pengebumian termasuk urusan membawa jenazah Hamdan dari Johor untuk dikebumikan di kampung halamannya di Ipoh, Perak.
Hamdan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 12:50 tengah hari semalam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pada Jumaat akibat jangkitan kuman dalam darah.
Sementara itu anak sulung Allahyarham, Muhamad Zeyreen Misha, 31, memberitahu, ayahnya banyak meninggalkan pesan bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga kepada rakan-rakan termasuklah tentang kematian.

“Babah memang banyak meninggalkan pesanan, kawan-kawan dia cakap dia penceramah bebas, pesanan terakhir dia kepada adik beradik, keluarga dan kawan-kawan adalah dengan berkongsi bacaan surah bagi memudahkan urusan itu (kematian dan masuk syurga).
“Saya selaku ketua keluarga yang baharu mewakili ahli keluarga lain buat keputusan biarlah babah berehat terus, biar dia rehat dan ahli keluarga akan jumpa semula di alam lain nanti,” katanya. –UTUSAN










