KUALA LUMPUR: Pemuzik bertaraf legenda, Man Kidal gembira kerana berpeluang membantu rakan artis dalam kesusahan menerusi Konsert Malam Amal Lagenda.
Kata pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood, usaha tersebut adalah tanda prihatin beliau dan artis terlibat terhadap rakan selebriti yang kurang bernasib baik.
“Apa salahnya berkongsi (rezeki) dengan kawan yang lain. Saya juga pernah susah kerana muflis. Pengalaman tersebut sebenarnya beri saya kesedaran.
“Kita kena jaga hubungan, berkasih sayang dengan sesiapa sahaja. Inilah perkara yang membangkitkan semangat saya untuk menjadi rajin,” katanya.
Konsert anjuran AS Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Berhas itu akan dianjurkan pada 3 Mac depan di Hotel Whyndam, Klang, Selangor.
Turut membuat persembahan adalah Datuk Hattan, Noraniza Idris, Baby Shima, Ifa Raziah dan Bob Sentuhan.
Dalam pada itu, Man juga berhasrat untuk menganjurkan persembahan lain untuk terus membantu artis yang dalam kesusahan.
“Kalau ada kemampuan, saya akan buat, Insya-Allah. Saya ada merujuk agensi untuk mendapatkan maklumat tentang artis yang memerlukan.
“Setakat ini saya kena bantu rakan artis terdekat. Mungkin selepas ini kita teruskan persembahan amal di Sabah Sarawak,” katanya lagi.