PETALING JAYA: Malaysia kini mencapai nisbah pengamal pergigian kepada penduduk pada tahap optimum mengikut piawaian antarabangsa, sekali gus menunjukkan kapasiti profesional dalam bidang itu mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
Berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2024, nisbah keseluruhan negara adalah 1:2,326 iaitu berada dalam julat ideal antara 1:2,000 hingga 1:2,500 bagi memastikan akses penjagaan pergigian yang mencukupi.
Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam berkata, perkembangan itu memberi gambaran jelas bahawa sistem kesihatan negara tidak lagi berdepan kekurangan tenaga doktor gigi.
“Ini bermakna, kapasiti profesional pergigian di Malaysia kini berada pada tahap yang boleh dianggap mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Oleh itu, orang awam terutama pelajar dan ibu bapa perlu menyedari hakikat ini sebelum membuat keputusan untuk memilih bidang pergigian sebagai kerjaya masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Lingeshwaran berkata, masyarakat perlu memahami penyerapan automatik ke jawatan tetap di Kementerian Kesihatan mungkin tidak lagi menjadi jaminan kepada pegawai pergigian pada masa depan.
Katanya, dengan nisbah yang telah mencapai tahap optimum, ruang untuk penempatan jawatan tetap di sektor awam akan menjadi semakin terhad.
“Saya merujuk kepada kegusaran yang dibangkitkan oleh Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) mengenai nasib Pegawai Pergigian Kontrak (NDOP) Kohort 2021.
“Kontrak bagi kohort berkenaan telah mula berakhir pada 6 April lalu, diikuti kumpulan seterusnya pada Julai dan September tahun ini tanpa hala tuju jelas berhubung pelantikan tetap atau pelanjutan kontrak daripada KKM,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu mempunyai persamaan dengan isu pegawai farmasi kontrak sebelum ini yang turut berdepan ketidakpastian dalam peralihan ke jawatan tetap.
“Walaupun mereka telah memberikan sumbangan besar kepada sistem kesihatan awam, ketiadaan maklumat rasmi mengenai masa depan kerjaya menimbulkan keresahan yang amat sangat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan bakal doktor gigi agar tidak bergantung sepenuhnya kepada KKM, sebaliknya melihat peluang lain termasuk sektor swasta yang lebih kompetitif, peluang kerjaya di luar negara serta bidang berkaitan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), akademik dan industri teknologi kesihatan.
“KKM perlu segera memberikan resolusi dan komunikasi jelas kepada Kohort 2021 bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan pergigian rakyat tidak terjejas.
“Namun, pada masa sama, kita harus jujur dengan realiti bekalan tenaga kerja profesional ini agar perancangan masa depan generasi muda lebih mampan,” katanya.-UTUSAN










