Pukul isteri sarat mengandung kerana mahu dapatkan surat nikah

Pukul isteri sarat mengandung kerana mahu dapatkan surat nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara enggan menyerahkan surat nikah, seorang wanita  yang sarat mengandung dipukul suaminya dalam kejadian di Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini pada 27 Disember lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner, Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita suri rumah kira-kira pukul 11 malam pada 27 Disember lalu berkaitan kejadian terbabit. 

Katanya, ketika kejadian, pasangan suami isteri terbabit berada di dalam rumah dan berlaku perselisihan faham antara mereka apabila suspek mahu mendapatkan surat nikah yang pengadu simpan.

“Gara-gara tak berpuas hati, suspek bertindak memukul pengadu menggunakan tangan sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan pengadu.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati pengadu mengalami kecederaan “soft tissue injury” pada bahagian kaki, tangan dan muka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd. Azam, suspek ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 2 Januari lalu di  Taman Bukit Teratai dekat sini.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah.

“Suspek dibenarkan direman selama empat hari sehingga 6 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan merujuk kepada dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

“Pihak polis memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan keganasan terhadap rumah tangga,” tegasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN