IPOH: Polis masih meneruskan siasatan ke atas pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes penyelewengan wang kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya tidak akan menghentikan siasatan walaupun kedua-dua suspek itu telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.
Katanya, setakat ini, tiada individu lain yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Siasatan masih lagi diteruskan terhadap kedua-dua suspek. Sebaik sahaja siasatan berjaya dilengkapkan, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya di sini hari ini
Terdahulu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan permohonan polis untuk membebaskan lelaki berusia 50 tahun dan isteri berusia 53 tahun itu dengan jaminan bon sebanyak RM50,000 setiap seorang.
Majistret Farah Nabihah Muhamad mengeluarkan perintah berkenaan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Kedua-dua suspek yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat itu ditahan di Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu dan ditahan reman selama 10 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Tangkapan terhadap kedua-dua suspek itu susulan pendedahan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkaitan kegagalan sebuah syarikat mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
Jelasnya, kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat bagi tahun lepas di mana dua kes direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu dan Perak. – UTUSAN