Perkeso Terengganu lunas faedah RM19 juta kepada penerima - Utusan Malaysia

Perkeso Terengganu lunas faedah RM19 juta kepada penerima

FARIHAH Che Husin (tiga,kanan) menyampaikan faedah sebanyak RM2,000 kepada Juariah Hasan di Kampung Pelandang, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu telah melunaskan bayaran faedah sebanyak RM19 juta kepada penerima di seluruh negeri sepanjang tahun 2023.

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, jumlah pembayaran itu diberikan kepada 5,508 orang pencarum yang layak dan membuat tuntutan dengan pihaknya.

“Pembayaran faedah ini melibatkan pelbagai kategori seperti faedah pengurusan mayat, pencen ilat dan pencen penakat serta faedah hilang upaya sementara dan kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan faedah pengurusan mayat kepada waris Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd. Borhanuddin Zakaria di Kampung Pelandang, Dungun, hari ini.

Mohd. Borhanuddin meninggal dunia
akibat serangan jantung pada 1 Januari lalu.

Farihah berkata, selain faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000, waris Mohd. Borhanuddin, iaitu balunya, Juairiah Hasan serta empat anaknya yang berusia bawah 21 tahun iaitu Amal, 20, Ahmad Mujahid,17,
Aqilah,12, dan Ahmad Fawwaz, 10, menerima faedah orang tanggungan berbentuk pencen bulanan.

Dalam pada itu, Farihah berkata, setakat ini, tiada kes tuntutan faedah palsu dikesan berlaku di Terengganu berikutan saringan yang dilakukan pegawai Perkeso di negeri ini sangat ketat.

“Kita tidak membenarkan pihak ketiga membuat tuntutan faedah dengan pihak kami. Kalau nak tuntut faedah caruman, pencarum sendiri yang perlu hadir sebab kita tidak mahu berlaku tuntutan palsu.

“Bagi pekerja yang terlibat dalam kemalangan ketika bekerja, majikan perlu membuat laporan kepada Perkeso supaya kita boleh ambil tindakan segera untuk beri kemudahan kepada pencarum,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dilaporkan berkata, terdapat peningkatan jumlah individu yang membuat tuntutan palsu pertubuhan itu berpunca daripada sistem keselamatan sosial yang tidak mempunyai pelan jangka masa panjang seperti pencen warga tua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya