Penjawat awam lantikan kontrak, berkuat kuasa 1 Februari

Semua lantikan baharu kerajaan secara kontrak

Keputusan kerajaan memansukan skim pencen dijangka menyebabkan kakitangan awam akan merosot dalam tempoh 10 tahun lagi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lantikan penjawat awam bermula 1 Februari ini hanya akan dilakukan secara kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan oleh kerajaan pada masa akan datang.

Dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari yang dilihat Utusan Malaysia, kaedah lantikan baharu tersebut dapat melandaikan tanggungan fisikal negara dalam tempoh jangka panjang.

Bagaimanapun, kaedah tersebut kini sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan penambahbaikan terhadap kesediaan sistem yang terlibat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha tersebut selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Menurut beliau, keputusan pelantikan kontrak tersebut yang berkuat kuasa mulai 1 Februari dan penggunaan kaedah baharu dalam lantikan penjawat awam dibuat selepas jemaah menteri bermesyuarat pada 12 Julai lalu.

“Susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu tersebut, jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa mulai tahun 2024.

“Kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

“Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pencen dan pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi tempoh enam bulan tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion,

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 dan tidak membabitkan amaun tambahan.

“Implikasi kewangan RM1.3 bilion, tetapi ini sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan, bukan ada tambahan, kita bayar dengan elaun khas iaitu elaun Madani supaya dia (pesara) tak rugi.

“Apa yang dijanjikan oleh kerajaan, maka kita bayar elaun Madani pertimbangan atas khidmat mereka sebagai penjawat awam dahulu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Cakna

Madani Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Putrajaya, pada 13 Julai lalu iaitu sehari selepas mesyuarat jemaah Menteri diadakan.

Namun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada 4 Disember lalu mewakili Kerajaan Perpaduan memaklumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan beberapa berita baik kepada penjawat awam dan pesara tahun ini iaitu antaranya mengenai kenaikan gaji serta pencen.

Katanya, beberapa keputusan telah dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dan perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Sementara itu, Wan Ahmad mengingatkan supaya Pihak Berkuasa Melantik (PBM) mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa sedia ada dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku PBM hendaklah mematuhi dan melaksanakan ketetapan ini berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN