Pengerusi pertubuhan kebajikan mengaku salah palsukan permohonan bantuan sekolah - Utusan Malaysia

Pengerusi pertubuhan kebajikan mengaku salah palsukan permohonan bantuan sekolah

ROSLILAWATI Mukhtar (kanan) yang mengaku salah memalsukan permohonan bantuan persekolahan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengerusi pertubuhan kebajikan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan memalsukan permohonan bantuan persekolahan, empat tahun lalu.

Hakim Mohd. Azhar Othman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Roslilawati Mukhtar, 45, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ketua sayap sebuah parti politik di Terengganu dengan curangnya menggunakan sebagai tulen iaitu satu dokumen senarai nama 100 pelajar asnaf bagi program ‘Back to School’.

Program itu bagaimanapun tidak diadakan dan pelajar terbabit juga tidak menerima sebarang bantuan selain dokumen senarai penerima pula menunjukkan 25 nama yang berulang.

Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada Ketengah Holding Sdn. Bhd. bagi mendapatkan bantuan berjumlah RM5,000 yang mana tertuduh mengetahui dokumen berkenaan palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Roslilawati di bangunan Ketengah Holding Sdn. Bhd. di daerah Dungun pada Disember 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim ketika membacakan keputusan itu berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan kerana kesalahan ini boleh menyebabkan ketirisan dana awam yang lebih besar jika tidak dibendung.

“Mahkamah berdoa kepada Allah S.W.T agar hukuman ini menjadi pengajaran berguna kepada kamu dan juga masyarakat di luar sana agar tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Nurul Haziqah Tengku Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya