Pemimpin kutuk serangan bom petrol

Pemimpin kutuk serangan bom petrol

SEBUAH kereta milik Datuk Ngeh Koo Ham musnah manakala dua lagi rosak dalam kebakaran akibat dibaling molotov cocktail atau bom petrol di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Ayer Tawar, Manjung, Perak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah menteri mengutuk serangan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail ke atas kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Manjung, Perak, semalam.

Menyifatkan tindakan itu jelas melanggar undang-undang, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap pelaku serangan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, jemaah menteri turut mengingatkan rakyat supaya bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

“Jangan sesekali cuba membuat percubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat melanggar undang-undang.

“Jemaah menteri turut memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar sejurus selepas mesyuarat Kabinet, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam, kediaman Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar diserang menggunakan bahan letupan jenis molotov cocktail.

Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan termasuk Mercedes E300 selain kerosakan di siling dan bumbung garaj kediamannya.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali untuk menangani perbezaan dalam masyarakat.

Kata beliau, pihaknya yakin dengan tindakan pantas pihak berkuasa untuk menangkap suspek bertanggungjawab terhadap jenayah itu dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau dalam kejadian keganasan tersebut,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memberi peringatan kepada mana-mana individu di negara ini supaya tidak sekali-kali mengambil tindakan yang melampaui lunas undang-undang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman rakyat di adalah menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

‘Kita menggesa rakyat diluar sana, mana-mana individu jangan sekali-kali mengambil tindakan melulu yang melampaui lunas undang-undang kerana kesannya buruk,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut mengingatkan semua pihak supaya tidak bertindak luar batasan susulan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian mengakibatkan keadaan huru-hara sehingga mengancam keselamatan awam selain berisiko mencetuskan banyak lagi perbuatan balas dendam.
“Jangan melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan ada perbuatan balas dendam. Jadi itu tidak baik untuk negeri kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meskipun berbeza fahaman politik, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan undang-undang, malah bertentangan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.

Katanya, Pas percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutama boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.

“Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana.

Takiyuddin dalam masa yang sama turut mengingatkan supaya semua pihak lebih peka dalam menyuarakan sebarang pandangan yang boleh menyumbang kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat yang mungkin menjadi percikan api kepada kebakaran lebih besar.

NGEH Koo Ham dalam sidang akhbar berhubung kediamannya dibaling dengan molotov cocktail di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Dalam pada itu, Koo Ham dalam sidang akhbarnya di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas percaya kenyataan beliau berhubung isu mahkamah syariah baru-baru ini menjadi punca rumahnya dibaling dengan molotov cocktail atau bom petrol.

Ahli Parlimen Beruas itu tidak mengesyaki sebab lain kerana beliau tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan atau pergaduhan dengan mana-mana individu ketika ini.

Beliau juga tidak menerima sebarang ugutan atau ancaman sama ada dalam bentuk panggilan atau mesej sebelum ini.

“Saya tinggal di Ayer Tawar sudah lima generasi, saya tiada musuh di sini. Rumah saya juga tiada CCTV (kamera litar tertutup), tidak perlu, kerana semua orang kenal (saya),” katanya.

Pada 28 Disember lalu, Penasihat DAP Perak itu mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pakar undang-undang bukan Islam dimasukkan dalam jawatankuasa khas mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah, bagi memberi pandangan masyarakat bukan Islam.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya orang Islam memaksa beliau memohon maaf dan menarik balik cadangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN