KUALA LUMPUR: Berapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung rintihan rakyat disebabkan keadaan ekonomi yang mendesak.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya yang juga ketua himpunan penyerahan memorandum kepada Istana Negara hari ini berkata, ia bukanlah satu agenda politik sebaliknya membawa rintihan rakyat ketika ini.
“Tujuan kita buat majlis ini adalah untuk menghantar satu warkah kepada Yang di-Pertuan Agong tentang keadaan umat Islam dan rakyat secara keseluruhan, yang hari ini semakin susah dan menderita dengan keadaan yang ada.
“Hari ini tidak ada pimpinan politik dan agenda politik tetapi inilah suara rakyat. Inilah melambangkan bagaimana terdesaknya rakyat dengan keadaan ekonomi dan agama.
“Kita mohon sangat pihak istana dapat menyampaikan suara rakyat ini kepada Agong, bahawa kita sangat menyanjung tinggi dan taat setia kepada Seri Paduka,” katanya sebelum menyerahkan memorandum di Istana Negara, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 1,000 orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara bagi membawa suara rakyat dalam himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara.
Himpunan anjuran sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) mewakili tiga wakil NGO itu untuk menyerahkan memorandum yang membangkitkan isu ekonomi, kos sara hidup, integriti dalam kepimpinan negara dan sensitiviti agama.
Yang hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Aminuddin berkata, penyerahan memorandum itu tidak ada matlamat lain yang hanya hendak melihat negara sejahtera, aman, dan hidup tenang.
Sementara itu, Dr. Mahathir sebagai tanda solidariti kepada gerakan rakyat itu berkata, beliau bersimpati kepada rakyat yang terpaksa berdepan masalah ekonomi ketika ini.
“Sampai orang Melayu bunuh diri, tidak pernah terjadi. 17 orang Melayu bunuh diri. Ada yang bunuh ibu bapa kerana mereka hilang punca pendapatan. Mereka tertekan,” katanya.
Himpunan penyerahan memorandum kepada Istana Negara selesai kira-kira pukul 11.30 pagi selepas laungan takbir dan bacaan doa. – UTUSAN










