JEREZ: Juara dunia lapan kali, Marc Marquez mencipta kemenangan dramatik apabila menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix Sepanyol dalam aksi penuh huru-hara di Litar Jerez, hari ini.
Pelumba Ducati itu bangkit daripada insiden terjatuh dalam keadaan litar licin akibat hujan sebelum membuat keputusan berani menukar jentera bagi meneruskan perlumbaan.
Aksi pecut bermula dalam keadaan cuaca mendung sebelum hujan lebat mula turun, menyebabkan beberapa pelumba hilang kawalan dan terbabas manakala sebahagian lain bergegas masuk ke pit untuk menukar jentera dengan tayar hujan.
Dalam situasi mencabar itu, Marquez memanfaatkan pengalaman serta keberanian taktikal untuk mengharungi perlumbaan dengan lebih konsisten berbanding pencabarnya.
Beliau akhirnya melintasi garisan penamat di tempat pertama untuk menghadiahkan kemenangan bergaya buat Ducati.
Rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekali gus melengkapkan kedudukan satu-dua buat pasukan tersebut.
Sementara itu, pelumba VR46 Racing Team, Franco Morbidelli mencuri tumpuan apabila bangkit daripada kedudukan ke-18 di grid untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Perlumbaan tersebut turut menyaksikan pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi antara mangsa yang terjatuh dalam keadaan litar berbahaya.
Dalam masa sama, pencabar utama kejuaraan dari Aprilia Racing, Jorge Martin terpaksa menarik diri akibat masalah cakera brek. – AGENSI










