ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perbincangan soal kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk calon Perdana Menteri hanya akan dimulakan setelah Parlimen dibubar.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu berkata, sebarang isu berkenaan masih terlalu awal untuk dibincangkan kerana tarikh pembubaran Parlimen juga masih belum diketahui, ketika ini.
“Terlalu awal untuk menamakan seseorang untuk memegang jawatan itu (Perdana Menteri), ini kerana PRU masih belum diketahui bila, mungkin masih jauh atau sudah dekat.
“Jadi saya fikir elok kita ketepikan dahulu soal tersebut, dan berikan tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu mempunyai calon Perdana Menteri namun memberitahu belum tiba masanya untuk individu berkenaan didedahkan.
Menurut Abdul Hadi, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding pada PRU akan datang.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya akan terus mendokong kerajaan Perpaduan dan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim termasuklah dalam soal pembubaran Parlimen.
“PRU adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Jadi sebagai parti politik yang mendokong kerajaan Perpaduan, kita akan akur dengan titah Tuanku berhubung perkara ini,” katanya.-UTUSAN










