MCA memang 'sesat' tapi kekal setia

MCA memang ‘sesat’ tapi kekal setia – Ti Lian Ker

TI LIAN KER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA sememangnya sedang ‘tersesat’ namun tidak pernah ‘menangguk di air yang keruh’ dan terus setia bersama rakan seperjuangan.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, itu perbezaan antara MCA yang dilabelnya sebagai ‘tersesat’ demi menegakkan kebenaran dengan DAP yang mengelirukan demi mencari kekuatan.

“DAP masih tidak mengiktiraf pengorbanan MCA demi mengutuhkan Kerajaan Perpaduan dengan ketegasan mereka untuk kekal bertanding di kesemua kawasan yang dimenangi pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), tanpa mengambil kira pengorbanan setiap parti yang menjadikan Kerajaan Perpaduan ini satu realiti.

“Sebaliknya, DAP memilih untuk terus mengejek MCA sebagai parti dua kerusi Parlimen atas sokongan pengundi majoriti Melayu. 

“Maka semestinya kenyataan Teresa Kok (Naib Pengerusi DAP) bahawa ‘MCA sesat’ adalah benar tetapi MCA tidak pernah mencaci, mengejek atau mengaibkan parti lawan dan tetap setia bersama rakan seperjuangan pada masa susah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyifatkan MCA kini agak ‘sesat’ kerana Presidennnya, Datuk Seri Wee Ka Siong dilihat gemar menyerang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, beza antara MCA dan DAP adalah parti dipimpinnya sebelum ini dipandang serta diterima sebagai satu parti sederhana dalam pendekatan dan perjalanan politiknya.

“MCA tidak pernah melaungkan retorik politik menghapuskan hak Bumiputera yang termaktub dalam Artikel 153 perlembagaan persekutuan ataupun usaha ke arah itu. 

“Hari ini MCA terpaksa berkerjasama dengan DAP dan umum mengetahui pengundi tradisi MCA selama ini terdiri daripada sebilangan besar pengundi Melayu yang mendokong perjuangan MCA sebagai sebuah parti yang tidak radikal,” katanya.

Dalam pada itu, Lian Ker yang juga Ahli Dewan Negara berkata, DAP walaupun mengaku bahawa mereka adalah parti berbilang bangsa namun pengundi Melayu rata-rata mulai tidak selesa dengan kemenangan besar parti tersebut apatah lagi meraih sokongan besar daripada pengundi Cina.

Katanya lagi, perkara itu adalah cabaran terbesar DAP dan Kerajaan Perpaduan yang turut dibarisi oleh Barisan Nasional (BN).

“Walaupun DAP adalah parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan, namun mereka sebenarnya adalah ‘archilles heel’ iaitu titik kelemahan kerajaan ini.

“Ini amat ketara apabila gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) masih gagal meraih undi popular Melayu di beberapa PRK (pilihan raya kecil) yang mana undi popular di kawasan Melayu semakin kurang dan tidak mencerminkan jumlah campuran undi BN dan PH di PRU (pilihan raya umum) lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN