PETALING JAYA: Cadangan agar kerajaan memansuhkan pencen wakil rakyat dilihat dapat membantu usaha untuk meningkatkan gaji penjawat awam.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pernah mengusulkan cadangan pemansurhan pencen wakil rakyat berkata, gaji kakitangan awam sudah lebih 10 tahun tidak dikaji semula sejak 2013, sedangkan mereka antara yang terbeban dengan kekangan kewangan.
“Menteri terima dua tiga pencen, peringkat Persekutuan, negeri dan ratusan ribu elaun tahunan. Siap ada jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Itu pun pencen kekal, walhal baru masuk,” katanya dalam kenyataan menerusi video malam semalam.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, penjawat awam lantikan baharu tidak lagi menerima pencen sebaliknya mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau berkata, langkah tersebut bagi meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengurangkan bayaran pencen yang dijangka mencecah RM120 bilion pada 2040 tanpa sebarang perubahan kepada sistem.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol bersetuju agar pencen perkhidmatan wakil rakyat dipotong sama seperti pemansuhan pencen yang dilaksanakan terhadap lantikan baharu kakitangan awam sebai keadilan kepada semua penerima pencen.
Namun bagi veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, sebarang pemansuhan pencen termasuk kepada kakitangan awam perlu mengambil kira kajian yang menyeluruh
“Bekas wakil rakyat bukan semua ada wang, ada kais pagi makan pagi. Jadi usah anggap semua wakil rakyat kaya raya. Ada yang tidak gunakan politik untuk diri sendiri, jadi mesti ambil kira golongan seperti ini.
“Ada orang anggap apabila masuk politik, maka ada projek, ada semua, tetapi bukan begitu sebab ada yang jujur. Apabila jadi wakil rakyat belanja wang sendiri pun ada, jadi takkan mahu denda orang seperti,” katanya.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman pula berkata, masyarakat tidak sepatutnya membangkitkan isu berkaitan pencen ahli politik kerana mereka hanya menerima ganjaran yang tidak dibayar secara sekali gus.
“Cuma dahulu diuruskan oleh Parlimen, tetapi dipindahkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Jadi saya rasa elok Parlimen ambil semula kuasa pengurusan habuan ahli politik daripada pencen pegawai kerajaan sebab ia mengelirukan,” katanya.
Pada masa sama tambahnya, pilihan yang dibuat oleh kerajaan untuk menggantikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pencen adalah satu pilihan yang tepat kerana umur rakyat semakin meningkat, maka kerajaan perlu menanggung pencen lebih lama.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua orang boleh memberi cadangan dan syor mengenai perkara itu namun, akhirnya ia kekal menjadi polisi ditetapkan kerajaan.
“Kami dalam dewan (Parlimen) nanti akan berbahas, menteri kena jawab, backbenchers (penyokong kerajaan) boleh bangkitkan isu itu termasuk pembangkang.
“Saya kira cadangan dan syor oleh segelintir pihak itu ada meritnya dan semua berhak memberi cadangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Kesihatan (KKM), di sini semalam. – UTUSAN










