PETALING JAYA: Kerajaan perlu memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri terlebih dahulu sebelum melaksanakannya ke atas penjawat awam lantikan baharu.
Ini kerana kebanyakan mereka hanya berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun dan sebagai contoh menjadi individu yang sentiasa ke depan untuk berkorban.
Beberapa pemimpin politik termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat juga bersetuju dengan pemansuhan itu mengambil kira bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Ketika ini, kerajaan dianggar membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun untuk membayar pencen semua bekas ahli Parlimen dan anggota pentadbiran termasuk Perdana Menteri serta Kabinet.
Berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, seorang ahli Parlimen layak menerima pencen apabila berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan dan menerimanya selepas mencecah usia 50 tahun.
Menurut akta itu, mereka layak menerima tiga per lima atau 60 peratus daripada gaji mereka. Ini bermakna jika seorang ahli Parlimen menerima gaji RM16,000, pencennya adalah RM9,600 sebulan.
Malah seorang ahli Parlimen layak menerima pencen berganda bergantung kepada perkhidmatannya di bawah akta atau ordinan/enakmen berlainan.
Misalnya, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh menerima pencen di bawah ordinan/enakmen negeri, pada masa sama boleh menerima pencen sebagai ahli Parlimen sekiranya memenuhi kelayakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Adnan berkata, ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat iaitu ahli Parlimen, ADUN atau dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri layak menerima pencen.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan ‘orang politik’ kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun.
“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.
“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” katanya.
Terdahulu, Kabinet dilaporkan bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap adalah tidak berpencen.
Pendirian itu dibuat selepas menilai jumlah pencen ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040.
Bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak adil memansuhkan skim pencen untuk penjawat awam sedangkan wakil rakyat menerima saraan sehingga akhir hayat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, cadangan itu perlu diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada kerajaan dan pembangkang.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini. Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu.
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka, tetapi kita pula menikmati pencen sehingga mati. Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat. Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui teladan,” katanya.

Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon pula berkata, wakil rakyat dan menteri seharusnya menjadi contoh untuk berkorban demi kepentingan negara.
“Jika kerajaan Persekutuan mencadangkan pemansuhan skim pencen untuk penjawat awam, biarlah wakil rakyat, menteri, Yang Berhormat (YB) mula dulu. Ya, beban kewangan kerajaan kita berat, tapi janganlah sesekali menolak rakyat kita ke depan dulu!” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, jumlah penjawat awam bakal berkurangan dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya kerajaan memansuhkan skim saraan dan digantikan dengan caruman.
Katanya, situasi pada masa akan datang tidak boleh dibayangkan jika kakitangan kerajaan menyusut khususnya melibatkan dalam kalangan petugas barisan hadapan.
“Contohnya Kementerian Pendidikan mempunyai kira-kira 503,000 kakitangan terutama guru yang sentiasa berkorban demi anak bangsa, tetapi bayangkan akan berlaku kekurangan bagi tempoh 10 tahun mendatang kerana tawaran kontrak dan tidak berpencen,” katanya.
“Kementerian Kesihatan yang mempunyai kira-kira 250,000 kakitangan awamnya, akan pasti menyusut bilangannya kerana bakal pembantu perubatan, bakal jururawat dan bakal ahli farmasi serta bakal doktor lebih bersedia berkhidmat di klinik dan hospital swasta serta di luar negara,” katanya. – UTUSAN










