Lelaki acu pisau, ceroboh rumah warga emas dipenjara 10 bulan

Lelaki acu pisau, ceroboh rumah warga emas dipenjara 10 bulan

TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengacukan pisau pemotong daging dan menceroboh rumah warga emas, bulan lalu.

Tertuduh, Shahrum Baba, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabilah Nizam selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada Sama Osman, 75, dengan mengacukan pisau pemotong daging.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah mangsa sama tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang di Batu 7, 1/2 Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk pemenjaraan yang minimum.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 27 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN