PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menempatkan pegawai penguatkuasanya di tujuh lokasi pintu sempadan negara dalam memperkasakan pemantauan melibatkan isu penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negara ini.
Penempatan pegawai KPDN secara berkala itu akan dibuat serta-merta di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (SBA) dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, selain itu, pihaknya juga akan meneruskan pelaksanaan Ops Tiris 3.0 dengan memperluaskan penguatkuasaan kepada barangan kawalan lain seperti gula putih bertapis, minyak masak bungkusan polibeg satu kilogram, tepung gandum, petrol RON 95, diesel dan pelbagai lagi.
“Bagi tujuan ini, penguatkuasaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua pintu masuk sempadan negara.
“Selain itu, KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi meningkatkan kawalan daripada aktiviti-aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi penyerahan kes daripada agensi-agensi penguat kuasa lain di sempadan akan ditambah baik selepas ini dalam melancarkan proses penyiasatan dan pendakwaan.
“Malah KPDN juga akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit di sempadan.
“Pengauditan juga akan dibuat terhadap pemborong-pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bunkering dan syarikat pengeksport bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran serta penjualan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, strategi dan pendekatan jangka panjang bagi memperkukuhkan penguatkuasaan di sempadan akan dibincangkan secara lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penyediaan Dasar Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia sekali gus sebagai persiapan penubuhan SBA.
Katanya, langkah ini termasuk mengenal pasti persediaan bagi pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dan petrol RON 95 yang akan diputuskan kelak.
“KPDN dalam proses merangka strategi untuk memperkukuh penguatkuasaan di pintu sempadan membabitkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815),” katanya. – UTUSAN