MALAYSIA terus bergelut dengan penularan wabak denggi, penyakit bawaan nyamuk Aedes yang semakin kompleks dan sukar dijangka. Dalam landskap bandar pesat membangun dan cuaca yang tidak menentu, kes-kes denggi bukan sahaja berpusat di kawasan berpenduduk padat, malah merebak ke pinggir bandar serta kawasan baharu yang sebelum ini tidak dianggap berisiko tinggi.
Kumpulan Penyelidikan Bersepadu Nyamuk (IMeRGe), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalankan analisis terperinci ke atas dua kawasan berbeza di Selangor.
Kajian ini menggabungkan pendekatan saintifik lapangan, penggunaan teknologi perangkap nyamuk automatik (GOS trap) dan pemetaan geospatial (GIS) untuk menganalisis corak kehadiran dua spesies utama nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.
Hasil kajian mendapati suhu minimum dan litupan tumbuhan memainkan peranan penting dalam taburan nyamuk dan seterusnya risiko jangkitan denggi.
Kawasan dengan suhu malam yang lebih tinggi dan kawasan hijau yang terhad mencatatkan kehadiran Aedes aegypti jauh lebih tinggi.
Apabila suhu tidak turun terlalu rendah pada waktu malam, ia mencipta keadaan ideal untuk nyamuk terus aktif, membiak dengan lebih cepat dan paling membimbangkan mempercepatkan proses replikasi virus denggi dalam tubuh nyamuk.
Dalam erti kata lain, semakin tinggi suhu minimum di sesuatu kawasan, semakin pendek masa diperlukan nyamuk untuk menjadi pembawa virus berbahaya.
Selain itu, kawasan bandar yang dilitupi konkrit dan bangunan tinggi cenderung menyerap dan memerangkap haba. Fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan pulau haba bandar’ iaitu di kawasan bandar lebih tinggi berbanding kawasan hijau atau luar bandar. Keadaan ini menjadikan bandar-bandar tempat yang sangat ideal untuk pembiakan Aedes.
Malangnya, banyak elemen yang biasa dalam kehidupan seharian seperti pasu bunga, alas pasu, longkang kecil, baldi atau tangki air tanpa disedari menjadi tempat bertelur yang sesuai. Kombinasi antara bekas air terbuka, suhu hangat dan kehadiran manusia menjadikan nyamuk Aedes bukan sahaja mudah membiak, tetapi juga cepat menjangkiti mangsanya.
Kajian mendapati kawasan yang mempunyai litupan vegetasi yang luas seperti taman awam, kelompok pokok teduhan, padang rumput dan semak semula jadi, berupaya mengurangkan suhu mikro setempat, terutamanya pada waktu siang dan malam.
Dapatan kajian ini memberi kesan besar terhadap pendekatan kawalan denggi sedia ada. Selama ini, kebanyakan intervensi bergantung kepada aktiviti semburan kabus dan larvisid tanpa mengambil kira ciri mikro iklim setempat.
Kumpulan IMeRGe mencadangkan agar kawalan denggi disesuaikan dengan konteks kawasan lebih bersasar, bersifat tempatan dan didorong teknologi. Pendekatan seperti ini juga membuka ruang kepada kolaborasi antara penyelidik, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan masyarakat.
Kesimpulannya, denggi bukan hanya berpunca daripada nyamuk, tetapi daripada persekitaran yang kita cipta. Kajian inimembuktikan hubungan antara manusia, iklim mikrodan nyamuk adalah sangat rapat.
Maka, masa hadapan bebas denggi memerlukan komitmen rentas sektor merancangbandar yang lebih hijau, menggunakan data untuk tindakanpantas, dan melibatkan komuniti dalam penjagaanpersekitaran.
Pokok, panas dan nyamuk bukan sekadar elemen rawak, ia adalah tiga unsur utama yang membentuk peta risiko denggimasa kini. Dan kita kini tahu, bagaimana untuk bertindaksebelum ia menjadi wabak.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NAZRI CHE DOM
Pakar Entomologi Gunaan, Ketua Kumpulan IMeRGe Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)










