PETALING JAYA: Mengambil masa tiga jam ke tempat kerja, berjauhan daripada keluarga dan bekerja lebih lapan jam sehari antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Singapura.
Namun kerana memikirkan pendapatan yang lebih tinggi di negara jiran, cabaran yang dihadapi itu sudah menjadi perkara biasa bagi mereka.
“Saya memilih untuk berjauhan daripada keluarga kerana ingin memberi sokongan kewangan yang lebih stabil kepada mereka,” kata Wan Muhammad Faiz Rayyan, 30, yang bekerja sebagai Barista di sebuah kafe di Sultan Gate.
Menurutnya yang berasal dari Shah Alam dekat sini dan sudah dua tahun berada di negara Kota Singa itu, dia kini mampu memperoleh pendapatan empat kali ganda untuk melakukan kerja yang sama di negara ini.
“Kos sara hidup yang tinggi di Malaysia mendorong saya untuk berhijrah ke negara jiran itu bagi menjana pendapatan yang lebih demi menampung kehidupan yang agak mencabar.
“Keputusan ini bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga untuk meringankan beban yang yang ditanggung serta memberikan keselesaan hidup kepada keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Wan Muhammad merupakan antara kira-kira 350,000 rakyat Malaysia yang mencari rezeki di negara itu dengan sebahagian besar daripada mereka tinggal di Johor Bahru dan berulang alik setiap hari ke negara jiran itu.
Menurutnya, setiap hari dia mengambil masa tiga jam untuk pergi bekerja di Singapura kerana menunggu lama di pintu sempadan untuk urusan imigresen.
Namun dengan nilai matawang Singapura iaitu $1 bersamaan dengan RM3.49, dia sanggup menghadapi rutin tersebut.
Sementara itu, Muhammad Hakem Maslan, 26, yang bekerja sebagai juruteknik kilang di Tuas berkata, sepanjang bekerja di Kota Singa itu, dia membawa pulang sekitar $3,000 dolar sebulan, lebih lima kali ganda daripada gaji yang pernah diterima sebanyak RM2,000 di sini.
“Oleh sebab kos penempatan di sana agak tinggi, saya memilih untuk tinggal di Johor dan berulang alik ke tempat kerja. Perbelanjaan di Johor tidak menelan kos yang banyak cuma masa yang ada untuk keluarga agak terhad,” kata lulusan sebuah kolej vokasional tempatan itu.
Muhammad Hakem berkata, walaupun terpaksa menghabiskan masa kira-kira lima jam setiap hari untuk keluar dan masuk ke negara itu, pengorbanannya itu berbaloi apabila hasil pendapatan yang diperoleh agak lumayan.
“Perkara itu tidak menjadi masalah kerana penat yang saya hadap ini sepadan dengan apa yang saya dapat,” katanya.
Dalam pada itu, pembantu jualan di sebuah pusat beli belah di Jurong yang ingin dikenali sebagai Farhanim Faiz, 23, pula berkata, hasrat untuk menyambung pengajian yang terpaksa ditangguhkan mendorong dia untuk mencari rezeki di Kota Singa itu.
Katanya yang mempunyai Diploma Pengurusan Maklumat dari sebuah IPTA, hasrat bekerja di Singapura timbul selepas melihat ibu bapanya yang terpaksa bekerja keras demi kelangsungan mereka sekeluarga.
“Saya mahu ubah nasib keluarga. Dulu sewaktu diploma, ayah terpaksa jual tanah demi menampung yuran pengajian. Jadi impian untuk ada memegang segulung ijazah itu perlu saya usahakan sendiri.
“Ibu dan ayah pun sudah meningkat usia, adik-adik juga semakin membesar. Jadi sebagai anak sulung saya rasa tanggungjawab itu patut saya galas supaya tidak membebankan mereka sepenuhnya,” katanya yang berasal dari Melaka dan sudah dua tahun bekerja di Singapura. – UTUSAN










