KUALA LUMPUR: Kerajaan dan 28 bekas hakim serta tujuh balu kepada bekas-bekas hakim diberi masa sebulan untuk berbincang bagi mendapatkan kata putus dalam saman membabitkan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak sembilan tahun lalu.
Tempoh tersebut diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada pengurusan kes tersebut di sini, hari ini.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 5 Mac ini untuk pihak-pihak memaklumkan status perbincangan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam plaintif, Christopher Leong ketika dihubungi media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kesemua defendan turut mengesahkan perkara itu.
Pada 24 Januari 2022, seramai 35 bekas hakim serta balu dan tanggungan mereka memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak 2015.
Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan kedua hingga keempat.
Antara bekas hakim yang terlibat dalam saman tersebut ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob.
Turut dinamakan sebagai plaintif ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan iaitu Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Mahdev Shankar, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus dan Datuk Shaik Daud Ismail.
Antara balu bekas hakim yang menjadi plaintif dalam tindakan undang-undang itu ialah balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kerajaan gagal melaksanakan pelarasan itu sebaik sahaja kenaikan gaji hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat mengikut Peraturan-Peraturan Saraan Hakim (Pindaan Jadual Pertama dan Kelima) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.
Plaintif berkata, defendan secara berterusan mengubah pencen dan faedah lain sehingga merugikan mereka, yang seterusnya melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon perintah supaya Perdana Menteri dan Jemaah Menteri hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971.
Mereka turut memohon perintah bahawa defendan hendaklah membayar amaun yang mereka masing-masing berhak sejak 1 Julai 2015 dengan memakai peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun ke atas pencen dan faedah lain.
Selain itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa kerajaan gagal menetapkan, peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain mengikut seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45), melalui perintah dalam Warta.
Turut dimohon ialah perintah bahawa defendan hendaklah membayar secara sekali gus amaun yang mereka masing-masing berhak bagi tempoh antara 1 Julai 2015 dan tarikh penghakiman. – UTUSAN










