BATU PAHAT: Kakak Mira Sharmila Samsusah atau Bella menafikan dia pernah mengeluarkan kenyataan mengenai ada pihak yang ingin ‘menghapuskan’ adiknya itu.
Menerusi status yang dimuat naik dalam akaun TikTok miliknya, Norhisham, 36, atau mesra dipanggil Ayu mempersoal bagaimana khabar angin itu boleh tersebar sedangkan dia dan Bella tidak pernah bercerita apa-apa mengenai perkara berkenaan, walaupun sebelum tarikh kehilangan adiknya.
Turut senada adalah ibu saudara Bella yang memaklumkan dia juga tidak pernah mendengar atau mendapat maklumat berhubung ada pihak yang cuba menghapuskan wanita berkenaan.
Katanya, Bella mempunyai kehidupan yang baik bersama keluarganya.
“Saya tak tahu mana mereka dapat cerita ini,” jawab Norhisyam kepada Utusan Malaysia tentang berita yang mengatakan ada orang hendak menghapuskan Bella.
Terdahulu, Norhisham menzahirkan rasa terkilan kerana kemungkinan tidak dapat menatap wajah adik kesayangannya susulan penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pecah, di sini, Sabtu lalu.
Katanya, jika benar rangka manusia yang ditemukan itu adalah Bella, maka keluarganya tidak dapat lagi menatap wajah wanita itu yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.
“Sebagai adik-beradik, hubungan saya dengan Bella amat rapat. Kami saling mengetahui apa yang berlaku biarpun kami tidak duduk bersama.
“Macam-macam usaha sudah saya lakukan untuk cari dan dapatkan semula Bella. Kenapa hanya rangka yang kami dapat? Jika benar itu Bella, bagaimana kami mahu menatap wajahnya?,” katanya.
Sementara itu, Norhisham turut menafikan beberapa cerita lain yang tular dalam aplikasi WhatsApp dan TikTok sejak berita penemuan rangka manusia tidak sempurna itu.
Dalam pada itu, polis meminta semua pihak bersabar menunggu hasil laporan padanan Asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia terhadap sampel patologi rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan itu lazimnya mengambil sedikit masa sebelum dimaklumkan keputusannya.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini, pihak berkuasa memerlukan masa antara dua minggu hingga sebulan untuk mendapatkan keputusan daripada ujian DNA tersebut.
“Bagaimanapun, pihak polis cuba menyegerakan keputusan,” katanya bagi mengulas keresahan orang ramai berkaitan keputusan ujian DNA berkaitan rangka manusia itu yang dikaitkan dengan kehilangan Bella. – UTUSAN










