GOMBAK: Kerajaan menyasarkan kekerapan perjalanan bagi KTM Komuter pada selang masa 15 minit berbanding 40 minit hingga sejam, sekali gus menangani masa menunggu terlalu lama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew berkata, isu kelewatan masa ketibaan dan berlepas KTM Komuter kerana masalah teknikal selain tempoh kekerapan yang panjang.
“Bukannya lambat tetapi kekerapannya (agak lama) iaitu 45 minit hingga sejam. Masalah lewat sebab landasan itu dinaik taraf, maka satu trek ditutup jadi kereta api hanya melalui satu trek sahaja. Ini yang menyebabkan masa menunggu lama.
“Tetapi, ia sudah siap dan dalam masa terdekat kekerapannya akan ditingkatkan. Harapan kami ialah kekerapannya dalam masa 15 minit,” katanya dalam sidang akhbar Perkhidmatan KTM Komuter empat hari tiga malam sempena Thaipusam 2024 di Stesen KTM Batu Caves di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan isu KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang yang sering berdepan masalah kelewatan.
Masalah kekerapan melibatkan KTM Komuter didakwa akibat kelewatan projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 1 dan Fasa 2, menyaksikan syarikat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai kontraktor utamanya.
Kelewatan itu diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.
KVDT dijalankan bermula 2 November 2015 untuk memperbaiki insfrastruktur landasan dan meningkatkan kecekapan rel di sektor Lembah Klang.
Kawasan liputan kerja bagi projek itu bermula dari Rawang hingga ke Salak Selatan serta Simpang Batu hingga ke Sentul.
Pada Mac 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memberitahu, sejak bermula projek baik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan kereta api berkembar itu, jumlah perkhidmatan KTM Komuter dihad mengikut kekerapan selang masa 30 minit kerana hanya satu landasan sahaja dapat beroperasi di sektor landasan yang dirombak dan ‘dirawat’.
Jelasnya, keadaan itu merupakan punca kelewatan komuter kerap berlaku.
Skop kerja adalah meliputi kerja-kerja naik taraf formasi dan struktur landasan bertalian atas, penambahbaikan sistem persemboyanan dan komunikasi, sistem elektrifikasi dan naik taraf kemudahan di 16 stesen bagi sektor Lembah Klang.
TAMBANG PERCUMA
Sementara itu, kata Anthony, kerajaan menawarkan perkhidmatan KTMB melibatkan KTM Komuter yang beroperasi 24 jam selama empat hari tiga malam, selain tambang percuma bermula 23 sehingga 26 Januari sempena perayaan Thaipusam.
Katanya, penambahbaikan tersebut antara dua daripada lima inisiatif yang dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
Katanya, sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves–Pulau Sebang–Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves–Pelabuhan Klang–Batu Caves.
KTMB juga menyediakan perkhidmatan tambahan baharu bagi pengguna dari Pelabuhan Klang yang boleh mendapatkan perjalanan terus ke Batu Caves selepas 12 tengah malam. – UTUSAN