Tiada usul UMNO keluar kerajaan menjelang PAU 2025

Tiada usul UMNO keluar kerajaan menjelang PAU 2025

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak menerima sebarang usul yang menggesa parti itu keluar daripada kerajaan untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pertengahan bulan ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 175 usul daripada 191 bahagian yang diterima tidak menyentuh sebarang cadangan supaya parti menarik diri daripada kerajaan.

“Setakat ini, kita tidak mene­rima sebarang usul yang menggesa UMNO keluar daripada kerajaan. Saya tidak menjangka perkara ini menjadi usul besar kera­na pendirian untuk berada dalam kerajaan hari ini telah dibincangkan dan diputuskan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, Perlembagaan UMNO dengan jelas menetapkan bahawa sebarang dasar atau keputusan besar parti perlu melalui dua platform rasmi iaitu Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Fasal 8 dan Fasal 9 mene­tapkan bahawa apa-apa dasar UMNO mesti melalui PAU dan MKT. Apa juga suara akar umbi perlu disalur dan diputuskan me­lalui proses yang sah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi tidak menolak kemungkinan isu berkenaan dibangkitkan oleh mana-mana daripada 76 perwaki­lan yang mewakili tiga sayap parti, veteran, Mahasiswa UMNO Luar Negara serta wakil negeri.

“Namun, sebarang keputusan besar parti tidak pernah dibuat melalui desakan individu, konvensyen atau forum tidak rasmi. Ia mesti melalui saluran sah bermula dari cawangan, bahagian, negeri dan akhirnya PAU, selaras dengan Perlembagaan parti,” katanya.

Katanya, UMNO merupakan sebuah parti yang berstruktur dan berdisiplin, dengan suara akar umbi disusun secara sistematik, bukan melalui tekanan atau angka kehadiran sesuatu program tertentu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, isu berkaitan DAP serta agenda penyatuan Melayu dijangka antara topik yang menghangatkan perbahasan PAU 2025.

“UMNO tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana jurucakap untuk menyuarakan pandangan. Usul untuk kembali bersama Pas juga tidak dihalang.

“UMNO terbuka mendengar semua usul, namun setakat ini, daripada 175 usul yang diterima, tidak ada satu pun yang menggesa UMNO keluar daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN