Kerajaan PN Perlis tanpa Pas

Kerajaan PN Perlis tanpa Pas

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan bergambar bersama barisan Exco kerajaan negeri yang baharu selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan di Istana Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Barisan Exco kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis yang dike­tuai Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menyaksikan ketiadaan wakil dari Pas.

Kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Izizam Ibrahim (Titi Tinggi; Marzita Mansor (Sena); Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afhtar Ishak (Tambun Tulang) mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau semalam.

Bagaimanapun kesemua ADUN dari Pas iaitu Mohd. Shukri Ramli (Sanglang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Razali Saad (Simpang Empat); Haziq Asyraf Dun (Beseri) dan Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) kecuali Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang) hadir pada majlis itu. ADUN Indera Kayangan dari PKR, Gan Ay Ling turut hadir.

Tiga ADUN Pas, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keanggotaan pula tidak dijemput pihak istana bagi majlis itu.

Turut berangkat pada majlis tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda merangkap Waris Yang Kedua Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Hadir sama, Abu Bakar dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan.

Abu Bakar turut memegang portfolio Pentadbiran, Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber Asli, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar dan Keselamatan serta Hubungan Sempadan.

Izizam pula memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan dan Sumber Manusia dan Modal Insan. Selain itu, Marzita memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan dan Kebajikan serta Pembasmian Kemiskinan.

Megat Hashirat memegang portfolio Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar manakala Wan Zikri memegang Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, Teknologi serta Inovasi.

Abu Bakar sebelum majlis pelantikan terus mempelawa wakil Pas menyertai barisan Exco kerajaan negeri termasuk telah mengutuskan surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar mempertimbangkannya.

Pada 28 Disember lalu, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mohd. Shukri yang melepaskan jawatan atas faktor kesihatan.

Abu Bakar yakin barisan Exco baharu dilantik mampu menggalas amanah biar pun terpaksa menjawat banyak portfolio.

“Setiap Exco yang dilantik telah bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan meneruskan kerja kuat dalam memastikan negeri ini terus bergerak maju,” katanya.
Izizam yang merupakan Exco paling senior dalam kerajaan negeri pula berharap agar kepemimpinan Pas pusat mempertimbangkan semula untuk membenarkan wakil rakyat dari Pas dilantik sebagai Exco.

“Daripada sudut parti, kita menghormati keputusan atau pendirian Pas itu dan menghargai peranan mereka selama ini. Bagaimanapun, kalau boleh kita bersama-sama pandang ke depan untuk memajukan negeri ini.

“Sememangnya diakui daripada segi cabaran tanpa dibantu oleh wakil dari Pas di mana kita perlu memegang antara empat sehingga lima portfolio,” katanya.

Wan Zikri yang kembali dilantik sebagai Exco berkata, beliau akan kembali meneruskan agenda transformasi pemba­ngunan sukan di negeri ini selepas ‘berehat’ selama setahun apabila digugurkan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN