Kampung tenggelam nadi Perlis

Kampung tenggelam nadi Perlis

TASIK Timah Tasoh di Padang Besar, Perlis daripada sebuah perkampungan yang ditenggelamkan kini menjadi antara nadi Perlis dalam aspek pelancongan dan sumber bekalan air.- MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Empangan atau Tasik Timah Tasoh di sini yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar, sebelum ini hanyalah sebuah kampung yang ditenggelamkan bagi mewujudkan sebuah empangan.

Tasik tersebut pada asalnya menjadi pertemuan antara dua sungai, iaitu Sungai Timah dan Tasoh dengan dasarnya adalah sebuah kampung.

Antara yang turut tenggelam bersama kampung tersebut ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan.

Kampung berkenaan ditenggelamkan untuk membentuk takungan bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian. Di samping itu bagi memenuhi keperluan pengairan 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Projek pembinaan empa­ngan yang menelan belanja RM77 juta di bawah peruntukan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Malaysia (IADP) itu dimulakan pada 1987 dan siap sepenuhnya pada 1992.

Empangan atau Tasik Timah Tasoh berkeluasan 13.3 kilo­meter persegi juga mampu menakung air sebanyak 40 juta meter padu dan berfungsi sebagai sumber bekalan air domestik, pertanian serta kawalan banjir.

Selepas itu, kawasan berkenaan agak terpencil dan terbiar dengan ha­nya menjadi tumpuan kaki-kaki pancing dan komuniti nelayan di situ.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di lokasi-lokasi menarik sekitar Tasik Timah Tasoh.

Bagaimanapun, kawasan tersebut berubah wajah sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini dan muncul antara lokasi tarikan pelancongan paling popular di negeri ini yang menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

Siapa sangka lokasi berlatarbelakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand di jalan menuju Padang Besar itu, mampu menjadi tarikan baharu sebagai ‘aset’ pelancongan sekali gus menjadi antara nadi di Perlis.

Malah, secara tidak langsung ia menjadi lubuk rezeki kepada komuniti setempat melalui ke­giatan ekonomi seperti perniagaan produk tempatan selain perkhidmatan bot pelancong dan pelbagai aktiviti lain menjana pendapatan.

PERKAMPUNGAN DITENGGELAMKAN

Seorang bekas penduduk kampung itu, Melur Ali, 70, berkata, penduduk pada masa itu diberikan pampasan atau pilihan sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, di sini.
Katanya, kebanyakan penduduk yang terdiri daripada pesawah dan penoreh lebih memilih rumah di Kampung Sireh.

Bagaimanapun katanya, ada juga penduduk yang memilih pampasan daripada segi duit dianggarkan sekitar RM50,000.

“Proses tersebut bermula sekitar 1985 dengan selepas itu penduduk sudah mula pindah untuk memberi ruang kepada proses membina empangan tersebut yang menenggelamkan rumah, kubur, jalan dan masjid.

“Apabila musim kemarau sehingga menyebabkan air surut seperti sebelum ini, kita dapat saksikan jalan lama yang timbul kembali selain titi lama, tangga batu, tempat memasak dan lain-lain,” katanya.

KAWASAN kubur lama yang ditenggelamkan ditambak setinggi dua meter yang diletakkan batu nisan sebagai simbolik.

Menurutnya, di kawasan kubur lama yang tenggelam itu juga ditambak setinggi dua meter yang diletakkan batu nisan sebagai simbolik.

Selepas puluhan tahun, dia melihat bagaimana perubahan yang berlaku di Tasik Timah Tasoh yang kini menjadi antara lokasi pelancongan cukup po­pular.

BERI LIMPAHAN EKONOMI KEPADA KOMUNITI

Seorang penduduk yang juga pengusaha bot pelancong di santuari ikan air tawar Timah Tasoh, Azhar Abd. Aziz,35, berkata, daripada empangan biasa, lokasi berkenaan mula melonjak sebagai lokasi pelancongan popular sejak 2018.

Secara tidak langsung ia memberi limpahan ekonomi kepada komuniti nelayan di situ dan penduduk setempat.

Dia mampu membawa pelancong kira-kira 15 trip sehari khususnya pada cuti hujung minggu dan jumlah itu bertambah apabila musim cuti persekolahan.

“Bagi pengunjung yang menaiki bot, kami kenakan bayaran serendah RM50 setiap 30 minit. Kita turut bawa pengunjung ke lokasi-lokasi untuk merakam gambar dengan berlatarbelakangkan bukit yang menyaksikan pemandangan cukup indah.

“Para pelancong dibawa menikmati keindahan alam semula jadi di sini yang cukup memukau. Tidak hairanlah Timah Tasoh semakin menjadi tum­puan,” katanya.

KERANCAKAN aktiviti pelancongan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti nelayan dan penduduk setempat.

Selain itu, katanya, santuari ikan air tawar di Timah Tasoh disediakan kemudahan tapak perkhemahan yang dirintis oleh komuniti nelayan dan pelbagai lagi aktiviti lain bagi menjana pendapatan.

Katanya, lokasi tersebut menjadi tumpuan pengunjung sekali gus secara tidak langsung melonjak limpahan ekonomi kepada komuniti nelayan dan penduduk setempat.

“Timah Tasoh sebelum ini terbiar dan terpencil dengan kaki-kaki pancing sahaja selalu datang, namun kini berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi pelancongan pa­ling popular di negeri ini.

“Apabila kawasan ini menjadi tumpuan, sekali gus membantu penjanaan ekonomi penduduk setempat yang menjalankan perniagaan di situ,” katanya.

BEKALKAN 22 PERATUS SUMBER AIR KEGUNAAN DOMESTIK

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Perlis, Izizam Ibrahim berkata, empangan terbesar di Perlis itu membekalkan 22 peratus sumber air untuk kegunaan domestik dan lapan peratus bagi tujuan industri.

Katanya, pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Timah Tasoh adalah 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air di Perlis.

“Pembinaan Empangan Timah Tasoh sebelum ini melibatkan kawasan ladang getah, sawah padi dan sebuah perkampungan yang mempunyai 66 keluarga membabitkan 306 penduduk.

“Penduduk terlibat juga ditempatkan semula ke kawasan Lubuk Sireh bagi memberi laluan kepada pembinaan empangan. Ia dibina menerusi penemuan dua sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh,” katanya.

Dalam pada itu, Izizam berkata, pembinaan Empangan Timah Tasoh memberi limpahan manfaat dan membantu menjana ekonomi masyarakat termasuk kerajaan negeri.

Katanya, terdapat beberapa lokasi tarikan di kawasan itu yang dilihat sangat berpotensi dalam menarik kehadiran pe­ngunjung ke Perlis.

“Antara lokasi menarik terdapat di kawasan berkenaan ialah Santuari Ikan Air Tawar, Dataran Empangan Timah Tasoh, Tasoh Lake Resort, Geopark Timah Tasoh dan pelbagai lagi,” katanya.

TARIKAN PELANCONG SELURUH NEGARA

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata berkata, kerajaan ne­geri bakal menjadikan Empa­ngan Timah Tasoh sebagai lokasi tarikan buat peminat sukan dan rekreasi air khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Katanya, usaha tersebut dilaksanakan berikutan empa­ngan berkenaan sangat strategik dan berpotensi dijadikan sebagai lokasi tarikan pelancongan berasaskan air.

Ujarnya, empangan itu juga bersesuaian dibangunkan se­perti Tasik Kenyir di Terengganu yang kini menjadi salah satu produk pelancongan buat negeri berkenaan.

“Jadi kita di pihak kerajaan negeri cuba jadikan Timah Tasoh ini sebagai antara pilihan buat pengunjung dari seluruh negara sebagai produk pelancongan berasaskan air,” katanya.

Wan Badariah berkata, penyertaan komuniti setempat dalam membangunkan kawasan berkenaan memainkan peranan besar bagi menarik kehadiran pengunjung ke situ.

“Akhirnya limpahan ekonomi ini dapat dinikmati oleh komuniti setempat di samping menawarkan peluang pekerjaan buat rakyat negeri ini,” katanya.

ANTARA burung yang singgah di pokok-pokok di kawasan digelar ‘Pulau Burung’ di Tasik Timah Tasoh.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Aiman Azmi, 26, berkata, dia tidak menyangka di sebalik Tasik Timah Tasoh ini sebenarnya banyak kawasan yang unik antaranya Pulau Burung dan kepelbagaian tumbuhan air.

Katanya, meskipun pernah mengunjungi Timah Tasoh, ia pertama kali dia mengetahui wujud kawasan yang menjadi tempat ribuan burung singgah.

“Banyak juga tempat tersembunyi di sebalik Timah Tasoh ini. Bukan sahaja kita dapat menikmati keindahan tasik berkenaan sebaliknya mengetahui tempat-tempat baharu.

“Pulau Burung antara sangat menarik apabila melihat burung-burung hinggap di pokok dan apabila melihat kehadiran bot, ribuan burung ini terbang. Banyak juga spesies burung hijrah yang berhenti sebentar dan singgah di kawasan tersebut,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN