Isu kartel beras: Tunggu siasatan MyCC

Isu kartel beras: Tunggu siasatan MyCC

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) mengawal jentera tanaman padi sambil diiringi oleh Mohamad Sabu di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, skim Merchong di Pekan, Pahang semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Kawalselia Padi dan Beras sedang bekerjsama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)  bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan nasib pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MyCC memerlukan sedikit masa bagi memahami dan mempelajari tentang keseluruhan rantaian dalam industri padi dan beras negara.

“Isu kartel ini tidak boleh tuduh sembarangan kerana kena faham keseluruhan rantaian terlebih dahulu.

“Maknanya, kesimpulan awal kita tak boleh buat lagi, kita kena melihat aspek rantaian makanan dalam sektor padi dan beras sebab ini melibatkan beberapa peringkat dari benih sampai ke beras, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, Pekan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, skim Merchong di sini semalam.

Turut berangkat, pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

SMART SBB Ala Sekinchan adalah model baharu yang menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan pengetahuan, sikap dan amalan dilancarkan pada Mei 2023.

Program ini sudah dilaksanakan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pemba­ngunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak, Kelantan dan IADA KETARA, Terengganu.

Baru-baru ini, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman dilaporkan sebagai berkata, kartel dalam industri beras negara wujud dan sedang menipu pengguna dan kerajaan sekali gus menyaksikan kelemahan penguat kuasa yang tidak berupaya. menentukan antara beras tempatan dan import.

Beliau dilaporkan berkata, kartel dimonopoli syarikat-syarikat besar yang mempunyai kilang- kilang padi serta pemborong sendiri di bawah penguasaan mereka wujud sejak sekian lama.

Oleh itu, menurutnya, isu kekurangan bekalan beras berlaku apabila mereka menukar gred atau mencampur beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan.

Sementara itu, mengulas tentang SMART SBB Ala Sekinchan, beliau berkata, ia sudah dilaksanakan di Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan dan terbaharu di negeri ini.

“Pada bulan April ini, ia akan dilancarkan di Langkawi, Kedah membabitkan luas kawasan 500 hektar, selepas itu Sabah (500 hektar) dan Sarawak (500 hektar) membabitkan kawasan baharu.

“Ia akan diperluaskan ke seluruh negara dan buat masa ini hanya Johor dan Melaka belum melaksanakannya,” katanya.

Marzukhi juga yakin program SMART SBB Ala Sekinchan inisiatif untuk mempertingkatkan pengeluaran padi tempatan di samping menjamin pengekalan kawasan penanaman padi negara yang saban tahun menghadapi masalah pengecilan kawasan akibat da­ripada penukaran status guna tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN