Inventori pokok bantu kenal pasti usia

Inventori pokok bantu kenal pasti usia

SAPIAH Haron (tengah) melihat kakitangan MPHTJ menanam pokok Hopea Odorata pada Program Pembudayaan Landskap Veritas 100 Trees di Reforestation & Riparian Sungai Putat, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan terus melaksanakan inventori pokok dalam usaha memastikan khazanah hutan diuruskan secara mampan.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya telah menjalankan inventori pokok melibatkan sebanyak 12,956 batang iaitu kira-kira 25 peratus daripada jumlah pokok di seluruh negeri ini yang berjumlah 54,878 batang.

Menurutnya, pelaksanaan itu bermula sejak 2017 hingga tahun lalu dalam usaha mengenali usia, tempoh dan jenis pokok.

Beliau berkata, melalui pemantauan ia memudahkan MPHTJ mengenal pasti pokok yang cukup tempoh untuk ditebang kerana faktor usia bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

“Kita ada satu sistem ‘MyTrees’ yang kalau kita lihat, di mana setiap pokok yang kita tanam seperti ada ‘surat beranak’ iaitu tahun berapa kita tanam, umurnya, di mana lokasi dan pihak mana yang menanam.

“Di situ ada kod QR yang membolehkan kita dapat tahu maklumat pokok itu ditanam termasuk nama saintifiknya.

“Pelaksanaan inventori ini adalah salah satu amalan pengurusan terbaik bagi pemeliharaan dan pemuliharaan pokok serta pengurusan infrastruktur hijau di kawasan pentadbiran MPHTJ,” katanya kepada pemberita selepas Program Pembudayaan Landskap Veritas 100 Trees di Reforestation & Riparian Sungai Putat di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 100 batang pokok dikenali Hopea Odorata atau Merawan Siput Jantan ditanam di kawasan berkenaan.

Tambah Sapiah, setakat ini MPHTJ telah menanam kira-kira 1,000 batang pokok Hopea Odorata.

Menurutnya, sasaran penanaman sebanyak 1,500 batang spesis itu setiap tahun ditetapkan yang meliputi kawasan Lebuh Ayer Keroh (dari Tol Ayer Keroh hingga ke Taman Botanikal), Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Kawasan Perindustrian Ayer Keroh dan Jalan MITC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya