HSR: Perdana Menteri akan teliti laporan

Kereta Api Berkelajuan Tinggi: Perdana Menteri akan teliti laporan

ANWAR Ibrahim melambaikan tangan kepada jemaah masjid selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra, Putrajaya, semalami. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan akan meneliti kesan langsung susulan penarikan diri sebuah firma Jepun dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau baru sahaja menerima laporan (penarikan diri firma Jepun) itu hari ini.

“Saya baru sahaja terima laporan hari ini dan saya akan teliti,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat Sepang di Masjid al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra, di sini semalam.

Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewa­ngan kerajaan Malaysia.

Perkembangan itu dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas menyiapkan ke­reta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand.

Untuk rekod, Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berke­naan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) me­lancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura me­lalui model perkongsian awam swasta.

Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura telah dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya yang ditetapkan pada 15 November 2023.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN