HSR: Jepun tarik diri banyak lagi negara lain mahu terlibat

HSR: Jepun tarik diri banyak lagi negara lain mahu terlibat – Anthony

ANTHONY Loke pada sidang akhbar perkhidmatan KTM Komuter empat hari tiga malam sempena Thaipusam 2024, di Stesen KTM Batu Caves. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Keputusan firma Jepun yang dilaporkan menarik diri dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak memberi kesan langsung terhadap Malaysia. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jepun berhak membuat keputusan sama ada mahu terlibat dalam projek HSR atau tidak, kerana ia masih berada di peringkat proses Permintaan Maklumat (RFI). 

Sehubungan itu, katanya, masih banyak syarikat daripada negara lain menyatakan minat untuk terlibat dalam projek berkenaan tanpa Jepun. 

Katanya, RFI akan berakhir pada 15 Januari ini manakala keputusan syarikat-syarikat yang menyatakan hasrat dalam HSR hanya akan diketahui selepas itu, kemudian beralih ke peringkat dinamakan Proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP).

“Tidak ada kesan pun, ada banyak syarikat lain (dari negara luar) yang akan masuk (dalam projek HSR). Kalau Jepun tidak berminat mahu masuk tender itu terpulanglah. Kita kan buat RFI secara terbuka? Mengapa kita (Malaysia) harus rasa tertekan? 

“Sebab hanya satu pihak (Jepun) sahaja tarik diri, mungkin dia rasa tidak sesuai dengan model yang kita mahu laksanakan. Jadi, terpulanglah. Banyak pihak lagi bahkan beratus syarikat menyatakan minat. 

“Harus diingat, sekarang kita belum sampai ke tahap tender, hanya RFI sahaja, jadi, banyak syarikat menyatakan minat, kita mahu tanya apa cara pelaksanaan mereka,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke sidang media Perkhidmatan KTM Komuter empat hari tiga malam sempena Thaipusam 2024 di Stesen KTM Batu Caves di sini hari ini. 

Semalam, agensi berita antarabangsa memetik sumber melaporkan, firma Jepun membatalkan rancangan untuk terlibat dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Penarikan diri negara itu dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China yang mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur, selepas menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia, dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand.

Bagaimanapun, beberapa syarikat tempatan dilaporkan bercadang bekerjasama dengan syarikat China dan Eropah untuk membuat bidaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti kesan langsung susulan penarikan diri  firma tersebut dalam projek HSR. 

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR) melancarkan proses RFI bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.

Pelaksanaan proses RFI juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksana semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan baharu, selain usaha mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura dilanjut sehingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya pada 15 November 2023.

Pada 27 Julai 2023, MyHSR Corp mengadakan taklimat RFI untuk projek HSR yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.

Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada 12 Disember tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan RFP akan bermula selepas tamat RFI yang bagi membolehkan sektor swasta yang berminat untuk membina dan mengendalikan projek HSR.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadang Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta kepada Singapura sebagai kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan perlanjutan penangguhannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya