Singapura sedia timbang cadangan hidupkan HSR

Singapura sedia timbang cadangan hidupkan HSR

Mohamad Maliki Osman (depan) bergambar dengan peserta Program Lawatan Wartawan Malaysia Kali Ke-15 di republik itu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura sedia mempertimbangkan sebarang cadangan bagi menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan negara berkenaan yang dibatalkan oleh Malaysia sebelum ini.

Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Mohamad Maliki Osman memberitahu, pihaknya bersedia untuk melihat sebarang cadangan yang mungkin ada dari Malaysia.

“Kalau tanya saya bila, saya tak tahu. Kami sedang menunggu apa-apa cadangan yang mungkin datang dari Malaysia.

“Kami bersedia untuk melihatnya secara jelas, tidak melihat langsung pada yang sebelumnya, melihat apakah cadangan itu, apakah kemungkinan perkara yang Malaysia mahu pertimbangkan,” katanya sewaktu sesi temuramah bersama media Malaysia yang menyertai Program Lawatan Wartawan Malaysia Kali Ke-15 baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas mengenai projek HSR yang pernah dimeterai antara perjanjian Kuala Lumpur dan Singapura bagi projek sepanjang 350 kilometer itu pada hujung 2016, yang sepatutnya siap pada 2026 bagi mengurangkan tempoh perjalanan dari ibu negara Malaysia ke republik berkenaan kepada 90 minit.

Namun projek landasan itu dibatalkan pada 1 Jan 2021 apabila Malaysia membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian syarat mengikut perjanjian.

Bagaimanapun cadangan untuk menghidupkan semula projek itu kembali timbul ketika pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika ditanya sama ada perkara itu dibangkitkan ketika pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, Dr. Mohamad Maliki memaklumkan, beliau tidak pasti tentang perkara tersebut.

Sementara itu beliau berkata, Singapura sedia berbincang dengan Malaysia berhubung kebimbangan membabitkan kontroversi tuntutan Batu Puteh yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai milik negara jiran itu.

Menurutnya, Singapura akan melihat dari beberapa segi selain memperhalusi isu berbangkit ekoran penghakiman mahkamah yang berpangkalan di Belanda itu.

“Saya tidak mahu bercakap banyak tentang Pedra Branca (Batu Puteh), kerana saya fikir masih terlalu banyak isu telah dibangkitkan. Namun paling penting, untuk melihat di mana istilah penghakiman ICJ dan seterusnya apakah isu yang timbul.

“Kami bersedia untuk berbincang dengan Malaysia terhadap kebimbangan mereka berkenaan Pedra Branca dan memberi jaminan apa yang berlaku di situ serta di mana kita boleh melakukan perbincangan ke hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN