PETALING JAYA: Pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) berkemungkinan mengguna pakai model pengoperasian RTS Link di Johor Bharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, konsep berkenaan mengetengahkan pembinaan dibuat di negara masing-masing, manakala pengoperasian dilaksana secara usahasama antara kedua-dua negara.
“Forest City dan Johor-Singapura Special Economic Zone di Johor Bharu adalah antara kawasan strategik yang dipertimbangkan sebagai antara jajaran baharu projek berkenaan.
“Keseluruhan aspek itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi proses kelulusan sebelum sebarang perincian mengenai projek terbabit didedahkan kepada umum,” katanya menerusi audio siar Keluar Sekejap, semalam.
Terdahulu, keputusan firma Jepun menarik diri daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur (KL)-Singapura tidak memberi kesan kerana masih banyak syarikat dari negara lain menyatakan minat untuk terlibat dalam projek berkenaan.
Jepun berhak membuat keputusan sama ada mahu terlibat dalam projek HSR atau tidak kerana ia masih di peringkat proses Permintaan Maklumat (RFI).
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, rundingan projek HSR dibuat menerusi model baharu.
“Kita mahu bawa pendekatan baharu dengan kawalan aset perlu ada dalam kawalan kita. Ketika ini, pihak kami menilai cadangan daripada beberapa syarikat, namun jajaran HSR belum dimuktamadkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, HSR adalah projek penting yang mampu mengubah landskap ekonomi negara sekiranya dilaksanakan kelak.
“Saya lihat tiada sebab kenapa projek ini perlu ditolak sekiranya ia boleh memenuhi beberapa kriteria ditetapkan.
“Aspek pengambilan tanah sedang dibincangkan tetapi projek ini perlu diputuskan Kabinet cuma perspektif saya tidak nampak kenapa projek ini tidak boleh dilaksanakan,” katanya.- UTUSAN










