PUTRAJAYA: Pembangkang disaran supaya tidak lagi melakukan sebarang ‘langkah’ politik sebaliknya mengambil iktibar daripada pengalaman pertukaran tiga Perdana Menteri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal dilihat memberi kesan bukan sahaja kepada negara tetapi rakyat.
Beliau berkata, tindakan itu ternyata membuang masa rakyat, sedangkan perhatian rakyat perlu dialihkan untuk mendapat manfaat daripada Kerajaan Madani.
“Saya fikir pihak pembangkang, cukup-cukuplah melakukan langkah yang apa nama sekali pun, jangan buang masa rakyat dan jangan buang masa.
“Dalam tempoh empat tahun ini, kita bersama membina negara ini semula yang sudah rosak selama satu penggal apabila ada tiga Perdana Menteri mengetuai negara dan tidak ada hasil yang baik untuk rakyat ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, semua pihak seharusnya memberi tumpuan bersama membangunkan negara, mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Boleh berpolitik apabila sampai waktunya untuk rakyat mengundi pada PRU (pilihan raya umum), PRK (pilihan raya kecil) atau PRN (pilihan raya negeri) yang akan diadakan untuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh tertentu,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau turut mengingatkan mengenai kewujudan Akta Antilompat Parti yang mana sebarang keputusan besar berkaitan politik, harus dibuat secara ‘en bloc’.
“Soal tebuk atap ini saya fikir, akuan bersumpah tidak lagi digunakan sebagai platform utama sebagaimana sebelum wujudnya Akta Antilompat Parti. Ini tidak akan berlaku kerana jaminan sudah diberikan oleh Premier Sarawak sendiri yang mengetuai GPS (Gabungan Parti Sarawak).
“Kita yakin GRS (Gabungan Rakyat Sabah) di Sabah juga, mereka sibuk untuk PRN, jadi apa yang berlaku di peringkat nasional mungkin bukan keutamaan mereka ketika ini dan saya fikir mereka juga mahu menstabilkan kedudukan kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










