PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu meningkatkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar atau Internet of Things (IoT).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara fokus utamanya tahun ini dan beliau juga sentiasa terbuka untuk mendengar idea baharu terutamanya yang terbukti meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di negara luar.
“Hari ini (semalam) saya diberikan taklimat pengenalan oleh Syarikat Helm Ag yang berpangkalan di Hamburg, Jerman. Syarikat ini menjalankan operasi di beberapa buah negara yang maju dari segi pertanian seperti Brazil, Amerika Syarikat dan India.
“Melalui teknologi yang dibangunkan, ia dapat memberikan data secara langsung berkenaan keadaan tanaman seperti padi melalui penggunaan satelit. Teknologi ini antaranya dapat membantu mengenal pasti perkembangan tanaman, amaran serangan penyakit serta memberikan unjuran hasil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Justeru, Mohamad mengarahkan pegawainya untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak syarikat terbabit bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan khusus. – UTUSAN










