KOTA KINABALU: Berjalan kaki meredah laluan berlumpur selama lebih enam jam bukan perkara yang mudah bagi orang dewasa, apatah lagi jika ia berlaku kepada kanak-kanak.
Namun, itulah situasi dihadapi empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, Kota Marudu yang terpaksa mengharungi laluan berlumpur untuk kembali semula ke sekolah pada awal minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru SK Magandai, Nelly Sikawan, 35, berkata, keempat-empat murid sekolah yang berjalan kaki itu sebenarnya menumpang kereta penolong kanan hal ehwal murid dari pekan Kota Marudu.
Namun dalam perjalanan, kenderaan penolong kanan itu mengalami kerosakan maka, murid-murid tersebut meneruskan perjalanan dan terpaksa menumpang dan bermalam di sebuah pondok (sulap) milik penduduk kampung.
Keesokan harinya barulah keempat-empat murid termasuk seorang murid pra-sekolah itu meneruskan semula perjalanan ke sekolah.
“Murid-murid tersebut terpaksa bermalam di rumah penduduk kampung kerana semasa kejadian berlaku hari sudah hampir gelap dan mereka terlalu letih untuk meneruskan perjalanan.
“Murid-murid yang berusia antara enam hingga 12 tahun yang ditemani oleh orang dewasa itu memulakan perjalanan pada awal pagi hari berikutnya dan tiba di sekolah kira-kira pukul 2 petang.
“Keadaan jalan yang berlumpur akibat hujan berterusan menyukarkan lagi perjalanan murid-murid tersebut. Malah, baju yang dipakai turut penuh dengan lumpur,” katanya.
Perjalanan murid meredah laluan berlumpur itu sempat dirakamkan oleh salah seorang guru yang kebetulan dalam perjalanan menghantar makanan kepada suaminya yang turut terkandas kerana kereta rosak.
Kata Nelly, tidak dapat diluahkan bagaimana perasaan mereka sebagai guru apabila melihat kesukaran yang dilalui murid-murid di sekolah berkenaan.
Walaupun usia masih kecil mereka tetap bersemangat untuk kembali bersekolah dengan meredah jalan yang begitu sukar untuk dilalui kerana licin dan berlumpur.
Menurutnya, SK Magandai yang terletak di kawasan pedalaman Sabah itu mempunyai 131 murid termasuk murid prasekolah.- UTUSAN










