PETALING JAYA : Tiga individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora terbabas di Jalan Kempas, Kampung Tengah, Puchong di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.28 petang itu kemudiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kemalangan yang berlaku membabitkan sebuah MPV, tiga motosikal dan sebuah pikap.
Kata beliau, siasatan awal mendapati pemandu MPV dari Putra Heights menghala ke Kampung Kenangan, Batu 13.
“Semasa tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan. Pemandu melanggar tiga motosikal dan sebuah pikap di bahu jalan.
“Seorang dewasa dan dua kanak-kanak yang berada di atas sebuah motosikal cedera dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian tular di media sosial hari ini.
Rakaman berdurasi 30 saat itu menunjukkan Proton Exora secara tiba-tiba terbabas melanggar motosikal dinaiki tiga mangsa yang sedang berhenti di bahu jalan. – UTUSAN