TELUK INTAN: Sebuah syarikat perniagaan biskut di sini sanggup ‘mengorbankan’ dinding bangunan premis perniagaannya untuk dilukis dengan lukisan mural mengenai kisah sejarah yang terkenal di daerah ini iaitu kejadian sebuah kereta api melanggar gajah yang berlaku lebih 100 tahun lalu.
Kerana lukisan mural itu, premis syarikat itu, BSH Enak Sdn. Bhd. di Jalan Sungai Nibong di sini, menjadi tumpuan ramai terutama pelancong apabila lukisan dalam bentuk tiga dimensi atau 3D, dengan kosnya ditanggung oleh syarikat itu.
Pemilik kedai biskut tersebut, Hor Wai Home, 37, berkata, dia rela mengorbankan dinding banguan kedainya untuk dilukis gambar peristiwa keretapi melanggar gajah yang berlaku pada 17 September 1894, tidak jauh dari bandar Teluk Intan.
Katanya, lukisan mural itu mengambil masa hampir dua minggu untuk disiapkan sepenuhnya dan dibuat dengan kualiti dan seni yang tinggi. “Kos untuk menghasilkan mural ini kira-kira RM28,000, dilukis dalam bentuk 3D.
Saya gembira kerana lukisan ini akhirnya siap untuk saya abadikan sebagai sejarah penting di sini yang berlaku lebih 100 tahun lalu.
“Lebih memuaskan hati saya apabila lukisan ini menarik perhatian sesiapa saja yang melalui kawasan ini mereka pasti akan berhentikan kenderaan untuk mengambil gambar.
“Ada yang kata dengan wujudnya lukisan ini, mereka tidak perlu lagi untuk ke lokasi sebenar kemalangan keretapi dan gajah berlaku, cukup bergambar ini di sini pasti sudah tahu mengenai sejara kejadian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia membuat lukisan mural itu sebagai menyambut ulang tahun ke-50 syarikat itu ditubuhkan dan bersempena tahun melawat Perak 2024.
Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1974, oleh ibu bapa dan perniagaan kuih yang diusahakannya itu mendapat sambutan daripada pelbagai kaum.
“BSH Enak memulakan perniagaan secara kecil-kecil dengan bantuan ahli keluarga dan beberapa pembantu. Syarikat kami menghasilkan biskut tradisional buatan tangan tanpa bergantung pada mesin,” ujarnya. -UTUSAN










