KUANTAN: Pemandu lori dan treler terus berdepan dilema bukan sahaja membabitkan soal pendapatan tidak menentu malah perlu berdepan peraturan yang menyulitkan tugasan hakiki golongan terbabit.
Kesannya, ramai generasi muda tidak berminat menjadi pemandu lori dan berlaku banyak kekosongan jawatan itu yang dianggarkan berjumlah 10,000 di seluruh negara sehingga ada syarikat pengangkutan gulung tikar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, yayasan itu banyak menerima aduan pemandu lori dan treler yang berkongsi keresahan mereka.
Jelasnya, pemandu lori dan treler mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan rangkaian logistik tidak lumpuh, namun sumbangan mereka seakan dipandang sepi.
“Berhubung soal gaji, kadar gaji diterima 15 hingga 20 peratus mengikut tambang sewa lori tersebut dari destinasi ke destinasi lain.
“Contohnya, dari Kuantan ke Kuala Lumpur sewa dalam RM1,000, pemandu hanya dapat RM150 hingga RM200 untuk satu perjalanan dan jika lori balik kosong dari Kuala Lumpur ke Kuantan, wang itulah perlu dibahagi kepada pembantu pemandu.
“Sekiranya gaji RM200, pembantu pemandu dibayar RM40 dan makan minum dalam perjalanan sudah habis sehingga RM60 ke RM70 dan hanya mampu bawa balik ke rumah dalam RM70 ke RM80 sehari. Purata kerja dalam sebulan 20 hari sahaja,” katanya di sini semalam.
Mohd. Firdaus berkata, pemandu lori dan treler perlu bertanggungjawab atas jalan raya dan mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, jika berlaku kesalahan pemandu sendiri yang akan membayar saman atau denda termasuk dihadapkan ke mahkamah.
“Komisen gaji dikira mengikut kadar sewa yang dikira daripada muatan diisi, isi sedikit, tidak cukup makan, isi berlebihan akan dikenakan tindakan oleh PDRM, JPJ dan APAD.
“Ketika ini ramai pemandu lori menjadi penganggur atau masih mencari pekerjaan lain kerana nama mereka sudah disenarai hitam dengan pelbagai kesalahan boleh dikompaun dan dihadapkan ke mahkamah.
“Ada juga di antara mereka tidak dapat membayar denda dan terpaksa mencari pekerjaan lain,” katanya.
Jelasnya, disebabkan permasalahan tersebut, kerjaya sebagai pemandu lori semakin kurang diminati khususnya oleh generasi baharu.
“YPNM berharap walaupun semua pihak perlu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, namun nasihat, bimbingan perlu menjadi keutamaan supaya pelbagai masalah boleh diatasi, bukan hanya dengan tangkap dan hukum,” katanya. – UTUSAN










