Cebisan kain hampir serupa dengan baju dipakai Bella

Cebisan kain hampir serupa dengan baju dipakai Bella

NORISHAM Samsusah (kiri) bersama keluarganya ketika ditemui di lokasi penemuan rangka manusia di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di Batu Pahat malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Walaupun pahit untuk menerima kenyataan rangka manusia tidak sempurna yang ditemukan dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, di sini kelmarin adalah Bella, ahli keluarganya reda jika itu ketentuan Ilahi.

Kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, berkata, berdasarkan laporan penemuan cebisan lain berhampiran rangka manusia ditemui petang semalam, ia hampir serupa dengan pakaian dikenakan oleh Bella ketika keluar dari rumah pada malam kehilangannya pada 14 Disember tahun lalu iaitu berbaju kelawar berwarna gelap.

Bagaimanapun, katanya, keluarganya tetap mengharapkan keputusan ujian DNA oleh Hospital Sultan Ismail (HSI) memberikan jawapan berbeza dan rangka manusia itu bukan milik Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32.

“Ini kerana keluarga kami belum bersedia untuk menerima berita sedih selepas lebih sebulan mengharapkan pengakhiran tragedi kehilangan adik itu ber­akhir dengan baik.

“Malah sepanjang malam tadi, ibu tidak dapat melelapkan matanya kerana selepas diberi­tahu tentang penemuan rangka manusia tidak sempurna yang dipercayai Bella,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Norisham lagi, pihaknya kini menunggu keputusan ujian DNA sama ada dari polis atau hospital dan jika itu adalah Bella, mereka akan menghadapinya dengan tabah.

“Kami amat berharap keputusan ujian DNA itu dapat di­segerakan agar dapat dikebumikan dengan sempurna jika betul rangka itu adalah Bella,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada pukul 2 petang selepas dibawa oleh seorang suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan Bella.

“Siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemukan pada rangka terbabit. Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa hanya dapat dilakukan kira-kira dua minggu lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×