Bom petrol: Jangan kaitkan Pas, PN

Bom petrol: Jangan kaitkan Pas, PN

SEBUAH kereta milik Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran akibat dibaling molotov cocktail atau bom petrol di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Ayer Tawar, Manjung, Perak, Rabu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas mengutuk dan menentang keras sebarang unsur keganasan termasuk dalam kes melibatkan serangan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail atau bom petrol ke atas kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Koo Ham atau mana-mana pihak tidak seharusnya mengaitkan Pas atau Perikatan Nasional (PN) kononnya mengapi-apikan isu supaya ramai membenci pemimpin DAP tersebut.

Beliau berkata, meskipun melibatkan musuh (dalam politik), Pas sama sekali tidak bersetuju dengan serangan berkenaan atau tindakan keganasan lain.

“Jangan kaitkan Pas atau PN kerana kita pun menentang keras tindakan seperti ini. Meskipun ia melibatkan pemimpin DAP, kita tetap tidak menyokong tindakan keganasan seperti ini.

“Tidak kira siapa yang terlibat, tindakan perlu dikenakan terhadap pelaku berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, jemaah menteri mengutuk serangan menggunakan bahan letupan ke atas kediaman Koo Ham.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kediaman Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Perak diserang menggunakan bahan letupan.

Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan termasuk Mercedes E300 selain kerosakan di siling dan bumbung garaj kediamannya.

Ekoran kejadian itu, Koo Ham memaafkan pihak yang melontar bom botol tersebut namun menuding jari kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Koo Ham mendakwa serangan yang bertujuan membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Susulan itu juga, Pemuda PN membuat satu laporan polis terhadap Koo Ham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN