SHAH ALAM: Bilakah Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) atau Stadium Shah Alam mahu diroboh terus menjadi tanda tanya walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memberi lampu hijau untuk berbuat demikian.
Ini kerana, makluman perobohan KSSA pernah dibuat awal tahun lalu, namun sehingga kini belum ada tanda-tanda kerja-kerja itu mahu dimulakan.
Jika kerja merobohkan KSSA belum dilaksanakan ia boleh menyebabkan kerajaan negeri gagal menyiapkan stadium baharu dalam tempoh yang disasarkan iaitu pada 2026 sejajar dengan permulaan operasi Aliran Transit Ringan (LRT) 3 bagi jaringan tren Lembah Klang Barat.
Seorang peniaga Pasar Stadium Shah Alam setiap hujung minggu, Azman Hashim berkata, para peniaga belum menerima sebarang arahan berpindah walaupun tapak baharu sudah dimaklumkan.
“Kita tak tahu lagi bila akan diroboh, cuma sekarang yang dimaklumkan adalah tapak baharu operasi pasar di kawasan tempat letak kereta bahagian hadapan. Tetapi bila pindah pun tak tahu, entah jadi ke tidak.
“Cuma yang kami bimbang kalau berpindah ke tapak baharu nanti mungkin ruangnya lebih kecil. Kami juga bimbang keadaan itu nanti menyebabkan kehadiran pengunjung berkurangan sebab tapak itu dikatakan kekal sehingga stadium baharu siap,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mahu dikenali sebagai Azhar turut mengakui belum mendapat arahan berpindah walaupun ‘cakap-cakap’ mengenainya tercetus sejak tahun lalu.
“Kami dengar-dengar juga ada yang kata bulan April nanti (selepas Hari Raya Aidilfitri), tetapi itu pun belum sah dan belum terima surat lagi. Selain tarikh, tempat pun ada yang kata dekat bahagian depan, ada juga kata dekat tapak lama di bahagian bawah.
“Buat masa ini kami memang masih kekal berniaga di sini. Kerja-kerja merobohkan stadium pun kami belum nampak lagi. Jadi, kita tunggulah sehingga arahan berpindah ke tapak baharu diberikan,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 ketika ditanya perkembangan stadium tersebut tidak mendedahkan tarikh kerja-kerja merobohkan stadium itu akan dimulakan.
Sebaliknya, beliau berkata, perobohan stadium ikonik di Seksyen 13 itu akan dilakukan secara berperingkat dan selamat tanpa menggunakan bom bagi memastikan ketenteraman penduduk yang tinggal berhampiran.
Menurutnya, kaedah itu dibuat kerana tidak mahu menganggu ketenteraman penduduk yang tinggal di Seksyen 13, Shah Alam.
“Jadi apabila buat perobohan secara manual, proses merobohkan Stadium Shah Alam akan mengambil masa yang panjang sedikit.
“Pihak yang bertanggungjawab merobohkan stadium akan menggunakan jentera berkaitan bagi kerja tersebut,” katanya. – UTUSAN










