BESUT: Kebanyakan penduduk yang terjejas bekalan air bersih di daerah ini memilih membeli air mineral untuk kegunaan memasak dan air minuman sejak 1 Januari lalu.
Nora Mohd., 55, daripada Perumahan Pengkalan Nyireh 2, berkata, dia membeli air mineral bagi menjamin kebersihannya agar tidak memudaratkan kesihatan mereka sekeluarga sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
“Bekalan air diperoleh daripada tangki statik dan dihantar Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya gunakan untuk mandi dan sebagainya tetapi untuk memasak terpaksa beli air mineral.
“Setiap dua hari saya memperuntukkan kira-kira RM20 untuk membeli air mineral yang berisi padu 5.5 liter sebotol, ” katanya ketika ditemui di Perumahan Pengkalan Nyireh 2, di sini, semalam.
SATU sebelum ini memaklumkan gangguan bekalan air yang berlaku sejak 1 Januari lalu berpunca daripada kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu, dekat sini, melibatkan 11 kampung di daerah ini.
Kebocoran yang melibatkan paip bersaiz 600 milimeter (mm) itu mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air sehingga 21 Januari.
Katanya, dia terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu bagi mendapatkan bekalan air bersih kerana air yang diperoleh daripada tangki-tangki disediakan tidak sesuai untuk dijadikan air minum.
Sementara itu, Abdul Rahim Razak, 63, berkata, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM210 untuk membeli sebuah tangki bagi menyimpan bekalan air selepas dua minggu mengalami masalah gangguan air di sini.
Menurutnya, inisiatif membeli tangki berkenaan diambil apabila bekalan air yang disimpan di dalam tong dan baldi yang digunakan tidak mencukupi bagi keperluan harian keluarganya.
“Bagi saya yang berpendapatan tidak tetap ini, jumlah RM210 amat besar kerana ia boleh digunakan untuk membeli barang-barang dapur, tetapi terpaksa membelanjakannya untuk membeli tangki yang menjadi keperluan utama masa ini.
“Dengan adanya tangki berisipadu 1,500 liter ini, air dapat dibekalkan dan digunakan bagi tempoh dua hingga tiga hari berbanding air yang disimpan di dalam baldi dan tong-tong kecil sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











